Pekan Kyaukpyu sebelum keganasan berlaku
SITTWE, Myanmar - Seramai 26,500 orang kebanyakannya etnik Rohingya yang beragama Islam dipaksa meninggalkan rumah mereka di barat Myanmar, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
Beberapa buah kampung dibakar dalam pertempuran antara etnik Rohingya dan penduduk beragama Buddha yang kembali tercetus pada 19 Oktober lalu di negeri Rakhine.
Sebelum ini, sekitar 75,000 orang telah memenuhi kem-kem sementara selepas keganasan berlaku di negeri berkenaan pada Jun lalu.
Dalam keganasan terbaharu itu, beberapa buah bot membawa pelarian Rohingya dilihat tiba di ibu negeri Rakhine di sini.
Para pelarian itu mencari perlindungan di kem Te Chaung yang dihuni oleh ribuan etnik Rohingya.
"Saya melarikan diri dari kampung yang terletak di Pauktaw pada Jumaat lalu kerana berasa tidak selamat. Rumah saya hangus terbakar dan saya kini langsung tidak mempunyai wang," kata seorang nelayan berusia 42 tahun, Maung Myint.
Dia tiba di kem tersebut bersama isteri dan enam orang anaknya dengan menaiki bot yang membawa 40 pelarian lain.
Keganasan pada 19 Oktober itu dilaporkan berlaku apabila kumpulan etnik Rohingya membantah kekurangan bantuan dan bekalan di perkampungan mereka.
Sejumlah etnik Rohingya kemudian bertindak membakar beberapa buah rumah penganut Buddha di pekan Min Bya dan Mrauk Oo. Tindakan mereka menyebabkan penduduk beragama Buddha melakukan serangan balas.
"Penganut Buddha di negeri Rakhine datang menyerang kami dengan pisau. Mereka membakar kediaman kami walaupun tiada apa yang boleh diambil oleh mereka. Saya melarikan diri dalam keadaan sehelai sepinggang," kata seorang wanita berusia 63 tahun yang dikenali sebagai Zomillah di kem pelarian Te Chaung.
"Saya kini tidak dapat pulang," tambahnya.
Pemerintah Myanmar menyatakan, seramai 80 orang terbunuh manakala lebih 95 lagi cedera.
Sebanyak 2,818 buah rumah di tujuh buah pekan di Rakhine dibakar dalam keganasan itu.
Pada Jun lalu, keganasan tercetus selepas sepuluh orang Rohingya beragama Islam dibunuh oleh sekumpulan penduduk beragama Buddha.
Penduduk Rohingya itu dibunuh bagi membalas dendam terhadap kejadian rogol seorang wanita beragama Buddha di Rakhine.
Sementara itu, pihak berkuasa Myanmar berjanji akan melakukan siasatan menyeluruh berhubung keganasan yang tercetus di Rakhine.
Sebelum ini PBB melaporkan bahawa etnik Rohingya merupakan golongan minoriti yang paling teruk ditindas di dunia. - Agensi
Perkampungan etnik Rohingya yang telah dibakar
Kem pelarian umat Islam Rohingya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan