Keadaan enam rumah teres setingkat yang musnah dalam kebakaran pagi semalam
BINTULU: Seorang warga emas terkorban dalam kebakaran yang melibatkan enam rumah teres setingkat di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sebiew sekitar jam 6.15 pagi semalam.
Menurut Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu Gregory Kurung Suwen, mangsa yang dikenali sebagai Junaida Abdullah, 62, ditemui terperangkap di bahagian belakang salah sebuah rumah yang terbakar dalam keadaan yang sungguh menyayat hati dengan melecur di seluruh tubuhnya.
“Sejurus dimaklumkan mengenai kejadian sekitar jam 6.49 pagi, saya bersama-sama 20 anggota dengan dua jentera bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat serta memadamkan kebakaran,” ujarnya.
Jelasnya pihaknya mengambil masa kira-kira satu jam bagi mengawal serta memadam kebakaran yang mana api berjaya dikawal sepenuhnya pada sekitar jam 7.25 pagi.
“Paling menyedihkan, kami turut dimaklumkan bahawa terdapat seorang warga emas terperangkap dalam sebuah rumah yang terbakar itu dan melalui pemeriksaan yang dijalankan sejurus api berjaya dikawal kami menemui mayat mangsa terbaring di bahagian belakang bilik,” katanya.
Jelasnya, mayat mangsa yang dijumpai pada jam 8.50 pagi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Bintulu bagi pemeriksaan lanjut.
Apabila ditanya mengenai punca kebakaran, Gregory berkata segalanya masih lagi dalam siasatan pihaknya bersama anggota polis serta pihak berkaitan yang lainnya manakala kerugian dianggarkan RM2 juta.
Pihaknya bagaimanapun berasa bersyukur kerana berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke blok perumahan yang lainnya bagi meminimumkan kerugian serta mengelakkan lebih banyak kemusnahan harta benda berlaku.
Gregory dalam pada itu menasihati orang ramai di bahagian ini agar sentiasa berhati-hati dalam menggunakan peralatan elektrik serta mematuhi had penggunaan elektrik yang ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya litar pintas yang boleh menyebabkan berlakunya kebakaran.
“Saranan saya di sini ialah setiap isi rumah harus mempraktikkan budaya penggunaan elektrik yang selamat bagi mengelakkan berlakunya musibah kebakaran yang bukan sahaja memusnahkan harta benda namun boleh mendatangkan kecederaan serta kematian,” ujarnya.
Salah seorang saksi kejadian yang enggan namanya didedahkan, berkata mangsa pada mulanya telah dilihat bersama-sama ahli keluarganya yang lain berada di luar rumah bagi menyelamatkan diri.
Namun tidak berapa lama selepas itu mangsa dilihat masuk semula ke dalam rumahnya meskipun api tengah marak kerana beranggapan salah seorang cucunya masih lagi berada dalam bilik, katanya.
“Kemungkinan mangsa tersedut asap tebal yang menyelubungi bilik menyebabkannya pengsan serta gagal menyelamatkan diri,” ujar saksi berkenaan.
Dalam kebakaran itu, seramai 49 orang daripada enam keluarga di kawasan perumahan terbabit telah hilang tempat tinggal setelah rumah mereka ranap dijilat api.
Adalah dimaklumkan bahawa kesemua mangsa kini telah menetap sementara di rumah sanak saudara masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan