Rabu, 31 Oktober 2012

Cedera Dalam Pergaduhan Antara Bugis Dan Bima


SIBU: Seorang lelaki warga Indonesia berbangsa Bugis cedera di bahagian dadanya setelah dipercayai dilibas dengan parang oleh seorang lelaki warga Indonesia berbangsa Bima di sebuah kantin di kawasan ladang kelapa sawit di Pasai Siong dekat sini malam Ahad lalu.

Kejadian itu berlaku apabila lelaki Bugis berusia 20-an sedang dilayan oleh seorang wanita yang bekerja di kantin berkenaan.

Kerana merasai dirinya tidak dilayan, lelaki Bima tersebut dikatakan marah sehingga menyebabkan lelaki Bugis berkenaan naik angin dan bertindak menampar lelaki Bima tersebut.

Lelaki Bima dipercayai pulang ke asramanya untuk memberitahu rakan-rakan yang lain yang turut campur tangan sehingga mereka keluar beramai-ramai menuju ke kantin untuk mencari lelaki Bugis tersebut.

Keadaan di kantin di situ menjadi kecoh apabila kedua-dua kumpulan Bima dan Bugis di situ masing-masing tidak mahu mengalah sehingga mencetuskan pergaduhan.

Satu pergaduhan antara dua kumpulan tersebut berlaku sehingga menyebabkan seorang lelaki Bugis cedera di bahagian dada dipercayai akibat terkena libasan parang.

Seorang pengawal keselamatan di situ telah bertindak menghubungi polis yang kemudiannya tiba di situ kira-kira satu jam kemudian untuk mengawal keadaan.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sibu telah menerima lebih 10 jahitan. Polis turut menangkap dua suspek untuk membantu siasatan polis.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan