Selasa, 30 Oktober 2012

Kong Ditemui Semula Selepas Enam Bulan Hilang

Lau dan Kong (baju putih) sedang dalam ‘tahanan’ seorang penguat kuasa MPS

SIBU: Pencarian seorang suspek kes curi membawa kepada penemuan dua budak lelaki yang ditemui merempat di Jalan Pulau dekat sini awal pagi semalam.

Dua budak lelaki tersebut hanya dikenali dengan nama Kong, 14, dilaporkan hilang oleh ibunya sejak enam bulan lepas manakala seorang lagi dikenali sebagai Lau, 11, dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak dua hari lalu.

Kejadian itu berlaku apabila seorang penguat kuasa Majlis Perbandaran Sibu (MPS) sedang mencari seorang suspek lelaki yang disyaki terlibat dalam dua kes curi masing-masing di Pasar Sentral Sibu dan sebuah rumah di Jalan Kampung Datu dekat sini.

Menurut laporan, penguat kuasa MPS berkenaan cuba menahan suspek yang sedang tidur bersama dua budak lelaki tersebut di kawasan sebuah gereja di Jalan Pulau kira-kira jam 12.30 pagi, namun tidak berjaya.

Suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri apabila dikejar penguat kuasa MPS tersebut namun dua budak tersebut berjaya ditangkapnya dan dibawa ke kaunter Majlis Perbandaran Sibu di Pasar Sentral sejurus selepas penahanan mereka.

Dalam masa yang sama, ibu Kong yang dikatakan hampir setiap hari dan malam berusaha untuk mencarinya di merata-rata tempat, telah dimaklumkan mengenai penemuan dua orang budak lelaki oleh pihak berkenaan.

Dia kemudiannya bergegas ke kaunter Pasar Sentral Sibu dan mengesahkan salah seorang budak lelaki yang ditemui itu adalah anaknya yang telah menghilangkan diri sejak enam bulan.

Difahamkan ibu Kong sudah bercerai dengan ayah kandungnya sejak umurnya mencecah lima tahun. Menurut ibunya, dia tidak dapat mendaftarkan anaknya ke sekolah sebab sijil lahir anaknya dipercayai disimpan oleh ayah kandungnya.

Sehingga kini, sijil kelahiran anaknya belum dapat diperolehi lagi, kata ibunya dan menyebabkan anaknya belum membuat kad pengenalan walaupun umurnya sudah mencecah 14 tahun.

Difahamkan, ibu Kong sudah putus hubungan dengan ayahnya yang kini dipercayai berada di Durin.

Sementara itu, seorang lagi budak lelaki yang dikenali sebagai Lau enggan pulang ke pangkuan ayahnya, seorang pemotong daging yang juga berniaga di Pasar Sentral Sibu.

Lau yang dikatakan tidak pulang ke rumah sejak dua hari lalu, dihantar pulang oleh penguat kuasa MPS ke rumahnya yang tidak dapat dipastikan alamatnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan