LABUAN: Sejumlah RM17,391 telah dirampas dari premis pemberi pinjaman wang tanpa lesen pada Selasa lalu di Jalan Kenanga kawasan bandar Labuan setelah pihak polis menerima maklumat dari orang awam mengenai aktiviti itu.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superitendan Adzhar Othman kelmarin berkata serbuan pihak polis pada jam 10.45 pagi itu telah diketuai oleh ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil daerah, ASP Mohd Sabri Hj Bahazin.
“Dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas 15 buku akaun milik peminjam, satu unit komputer, 26 keping kad ATM milik peminjam, beberapa borang perjanjian hutang dan sebuah buku pelan pembayaran balik.
“Turut dirampas beberapa milik premis terbabit termasuklah papan iklan syarikat. Kesemua barang serta dua orang wanita berumur 28 dan 31 tahun iaitu pekerja di premis itu dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Setelah disoal siasat, kedua-dua wanita itu dibebaskan dengan jaminan pihak polis,” katanya. Beliau berkata, premis itu dipercayai telah beroperasi selama sebulan dan pemilik premis masih lagi belum dikenalpasti.
“Siasatan bagi kes ini masih lagi di peringkat awal. Namun, pemilik premis terbabit akan dihadapkan ke mahkamah setelah kami mendapat pengesahan dari pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Perbadanan Labuan (PL) bahawa premis itu tidak berlesen,” katanya.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, pemilik premis boleh didenda tidak kurang dari RM250,000 dan boleh dipenjara sehingga lima tahun.
Adzhar berkata, mereka yang meminjam wang di premis itu terdiri daipada kakitangan kerajaan dan peniaga kecil.
Mengenai kadar faedah yang dikenakan pula, beliau berkata ia masih lagi dalam siasatan, tetapi beliau percaya ia mencecah 10 hingga 18 peratus.
Setakat ini, katanya, pihak polis belum lagi menerima sebarang aduan dari mana-mana peminjam yang menjadi mangsa seperti ancaman dan sebagainya dari pihak pemberi pinjaman yang berlesen.
Adzhar menasihati orang ramai agar tidak meminjam wang dari premis yang tidak berlesen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan