Rabu, 31 Oktober 2012

Cuaca Tidak Menentu Dijangka November Ini


KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan fenomena hujan tidak menentu akan berlaku sepanjang November di seluruh negara disebabkan arah tiupan angin sentiasa berubah.

Menurut jurucakap Bahagian Ramalan Cuaca jabatan itu, hujan yang membawa ribut petir di sebelah petang dijangka berlanjutan hingga awal November di sekitar pantai barat Semenanjung Malaysia terutama di negeri Perak dan kawasan Lembah Klang.

"Di kawasan pantai timur Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, dijangka berlaku peningkatan jumlah hujan pada November...Buat masa ini musim monsun timur laut masih dalam peringkat permulaan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Jurucakap itu bagaimanapun berkata keadaan ini dijangka tidak akan menjejaskan perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia mulai 5 November hingga 6 Disember.

"Masih terlalu awal bagi kami untuk membuat ramalan tepat sama ada keadaan hujan tidak menentu akan berlarutan hingga Disember ini,” katanya sambil memberitahu bahawa pihaknya akan mengeluarkan ramalan cuaca sebelum sambutan Deepavali nanti. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan