Imej satelit menunjukkan taufan Sandy di luar pantai timur Amerika Syarikat
CAPE CANAVERAL, Florida - Taufan Sandy yang membawa kemusnahan besar di pantai timur Amerika Syarikat (AS) dapat dilihat dari angkasa lepas.
Komander Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), Sunita Williams semalam menyatakan dia dan seorang kru lain dapat melihat lingkaran besar Sandy semasa ia mendekati pantai timur itu.
Keluarga Sunita tinggal di New England dan dia membuat pemerhatian dengan teliti di wilayah tersebut.
Taufan Sandy itu melanda New York kelmarin sehingga mengakibatkan hampir keseluruhan bandar raya tersebut tenggelam. Seramai 18 orang mati di tujuh buah negeri termasuk Kanada.
Kematian itu akibat dihempap pokok, rumah runtuh, terkena serpihan yang berterbangan dan renjatan elektrik.
Taufan itu tiba di New Jersey malam kelmarin dengan kelajuan angin 130 kilometer sejam. Lebih enam juta penduduk terputus bekalan elektrik dari Carolina ke Ohio. Sementara itu, kempen pilihan raya presiden terpaksa ditangguhkan selama seminggu.
Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan antara calon parti Republikan, Mitt Romney yang juga bekas gabenor Massachusetts dengan Presiden AS, Barack Obama.
Taufan itu juga menyebabkan sistem tren bawah tanah di bandar raya New York mengalami kerosakan teruk dalam tempoh 108 tahun.
"Ia akan menjadi salah satu rekod," kata Naib Presiden Kanan Consolidated Edison, John Miksad.
Beliau menyatakan, lebih 670,000 pelanggan syarikat itu yang tidak mendapat bekalan elektrik akibat taufan tersebut di bandar raya New York. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan