Selasa, 30 Oktober 2012

Wanita Rugi Lebih RM7,000 Setelah Diragut Dua Lelaki


MIRI: Seorang wanita kerugian lebih RM7,000 setelah diragut dua lelaki dalam satu kejadian yang berlaku di hadapan sebuah bank di Pusat Komersil Pelita di sini awal pagi kelmarin.

Menurut sumber, ketika kejadian yang berlaku sekitar jam 2.50 pagi itu, mangsa yang berusia 22 tahun bersama seorang sepupunya sedang dalam perjalanan menuju ke kenderaan jenis Hilux milik sepupunya itu yang diletakkan di hadapan bank berkenaan.

Ketika itu, tiba-tiba muncul dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal lalu meragut beg sandangnya dengan kuat hingga menyebabkan mangsa terjatuh.

Manakala beg sandangnya itu mengandungi pelbagai barang berharga termasuk barang kemas serta beberapa kad bank.

Menurut mangsa, dia gagal mengecam nombor pendaftaran motosikal yang dinaiki dua peragut terbabit kerana kejadian berlaku begitu pantas, ditambah keadaannya yang terjatuh akibat kesan rentapan yang kuat.

Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat mangsa di Balai Polis Pusat Miri di sini sekitar jam 3.40 pagi hari sama.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan