Isnin, 29 Oktober 2012

Pasangan Kekasih Maut Dalam Kebakaran


JOHOR BAHRU - Sepasang kekasih maut dipercayai akibat sesak nafas selepas rumah mereka di Polo Park, Jalan Bentara Luar Satu, di sini mengalami kebakaran, hari ini.

Kebakaran dipercayai berpunca dari bahagian belakang rumah jenis townhouse itu berlaku pada pukul 11 pagi menyebabkan kedua-dua mangsa, Ang Lye Hock, 52, dan Angielee Ambrose, 29, meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, Lye Hock yang merupakan rakyat Singapura dan Angielee, yang berasal dari Sabah, sebelum itu dipercayai bertengkar di dalam salah sebuah bilik di rumah berkenaan sebelum berlaku kebakaran.

Seorang jiran mangsa yang juga pengurus bangunan berkenaan, Baharudin Saffri Aksan, 46, ketika ditemui berkata, kejadian disedari ketika dia berada di balkoni untuk membersihkan penghawa dingin rumahnya yang terletak berhadapan dengan rumah mangsa.

"Pada mulanya saya dengar orang bergaduh. Saya buat tidak tahu sahaja kerana sering mendengar mereka (mangsa) bergaduh sebelum ini. Tiba-tiba saya mendengar bunyi letupan dan kelihatan asap tebal dari rumah mangsa.

"Saya bergegas turun dan cuba memberi bantuan dengan membuka pintu rumah berkenaan, namun gagal kerana pintu tersebut dikunci dari dalam dan Angielee mungkin telah pengsan. Api semakin marak dan jiran yang lain juga cuba membantu tetapi tidak berjaya,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Supritendan Abdul Samad Salleh berkata, siasatan awal polis tidak menemui sebarang unsur jenayah terhadap kebakaran itu dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan