Sabtu, 27 Oktober 2012

Penumpang Terkandas Lampu Landasan KKIA Rosak

Jadual penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu tergendala semalam

KOTA KINABALU – Beratus-ratus penumpang yang ingin bercuti sempena Hari Raya Aidiladha terkandas apabila lampu landasan di Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) tidak berfungsi kelmarin.

Kejadian pada pukul 6 petang itu difahamkan berlaku akibat masalah pendawaian ekoran kerja-kerja pembinaan di KKIA.

Difahamkan, antara penumpang yang terkandas ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok dan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Peter Pang.

Ia adalah kejadian kedua tahun ini selepas lampu landasan di Terminal 1 KKIA gagal berfungsi pada April lalu.

Seorang jurucakap Malaysia Airport Berhad (MAB) yang enggan namanya disiarkan berkata, insiden itu mengakibatkan banyak penerbangan dari Brunei, Singapura dan Kuala Lumpur yang sepatutnya mendarat di KKIA terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang Labuan.

“Sejurus masalah berlaku, kerja-kerja pembaikan dilakukan dan lampu landasan berjaya dihidupkan semula pada pukul 6.20 petang tetapi rosak semula pada pukul 9.15 malam,” katanya.

Bagaimanapun, dia enggan memberikan jumlah sebenar penerbangan dan penumpang yang terjejas akibat kejadian itu.

Seorang penumpang yang hanya mahu dikenali Zarul berkata, dia terpaksa menunggu selama tiga jam di terminal itu ekoran kejadian tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan