Selasa, 30 Oktober 2012

Dua Beranak Terbunuh Kereta Bertembung Bas Ekspres

Keadaan kereta yang meragut nyawa dua beranak selepas dirempuh bas

TAPAH - Seorang janda bersama anak tunggalnya terkorban apabila kereta Proton Iswara yang dinaiki mereka dirempuh sebuah bas ekspres di Kilometer 46, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Temoh di sini semalam.

Dalam kemalangan pukul 1.30 pagi itu, kereta yang dipandu Nurni Ahmad, 27, remuk sebelum kenderaan tersebut berpusing-pusing dan berlanggar dengan sebuah motosikal yang mengekori kereta itu.

Nurni, seorang peniaga dan anak lelakinya, Ikmal Daniel Abdullah, 7, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, Inspektor Khairul Nizam Ismail berkata, sebelum kejadian, dua beranak terbabit dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas menghantar ibu Nurni ke Felda Sungai Behrang dekat sini.

"Siasatan mendapati bas yang membawa seorang penumpang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur terbabas lalu memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Proton Iswara," kata beliau ketika dihubungi di sini.

Menurut beliau, pasangan suami isteri berusia masing-masing 28 dan 26 tahun, penunggang dan pembonceng menaiki motosikal yang turut terlibat dalam kemalangan itu mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Tapah di sini.

Pemandu bas berusia 29 tahun yang tidak cedera ditahan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis.

"Pemandu bas itu baru memulakan trip selepas bercuti beberapa hari," kata beliau.

Jelas Khairul Nizam, jenazah dua beranak terbabit dituntut petang semalam oleh keluarga mereka dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Behrang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan