Bashar berdoa di Masjid Al-Afram di kawasan al-Muhajirin, Damsyik semalam
BEIRUT - Gencatan senjata yang bermula pada sambutan Hari Raya Aidiladha berkecai di Syria semalam apabila tiga orang awam mati ditembak oleh beberapa anggota tentera pemerintah.
Menurut Kumpulan Pemerhati Untuk Hak Asasi Manusia, tiga orang itu mati ketika beberapa anggota tentera Syria melepaskan tembakan di bandar Harsta, pinggir Damsyik.
Kumpulan berkenaan turut mendakwa gencatan senjata selama empat hari itu musnah di beberapa wilayah di Syria.
Bagaimanapun, pengarah kumpulan itu, Rami Abdel Rahman memberitahu agensi berita AFP, keganasan didapati berkurangan berbanding sebelum ini.
Sementara itu, Presiden Bashar Al-Assad bersolat sunat Aidiladha di Masjid Al-Afram di kawasan al-Muhajirin, Damsyik.
Bashar kelihatan tenang, memberikan senyuman dan berjabat tangan dengan sejumlah orang di masjid itu.
Sementara itu, suasana Hari Raya Aidiladha kelihatan suram di Syria ekoran pertempuran yang berlaku sejak Mac tahun lalu yang mengakibatkan lebih 30,000 orang terbunuh.
Pertempuran itu berlaku antara tentera Syria dengan kumpulan yang menentang pemerintahan Bashar.
"Semua orang gembira hanya kerana mereka masih hidup," kata seorang wanita di sebuah bandar yang dikepung tentera Syria berhampiran sempadan Turki ketika diminta mengulas tentang sambutan hari raya. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan