Khamis, 18 Oktober 2012

Ayah Dera Anak: Penjara Ditambah Lapan Tahun

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kelmarin, atas kesalahan mendera secara fizikal dan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anaknya yang berusia setahun empat bulan.

Hakim Datuk David Wong Dak Wah membuat keputusan itu terhadap Tomli Ujin, 24, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk melakukan semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret, yang menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap responden untuk setiap kesalahan itu yang berjalan serentak.

David mengenepikan hukuman penjara itu terhadap responden dan menggantikan dengan penjara empat tahun untuk setiap kesalahan dan memerintahkannya berjalan berasingan.

Beliau juga mengenakan tiga tahun bon berkelakuan baik terhadap responden yang dicagarkan oleh seorang penjamin tempatan selepas menjalani hukuman.

Dalam meningkatkan hukuman itu, David berkata mangsa adalah anak kandung tertuduh berdasarkan laporan perubatan, mangsa mengalami lumpuh di kedua-dua bahagian kaki.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin memberitahu mahkamah, mengikut Seksyen 31 (2) Akta Kanak-Kanak, bon berkelakuan baik dapat dikenakan terhadap individu yang disabitkan, tapi mahkamah rendah tidak mempertimbangkan keadaan itu.

Dia juga menyatakan mangsa mengalami beberapa kecederaan di bahagian dada, kepala, tangan kanan dan kaki, perut, dan tulang belakang. Terdapat juga kesan gigitan di telinga, alat sulit dan kesan bakar di kaki.

Raja juga berkata, berdasarkan statistik dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, jumlah kes dera adalah sebanyak 251 yang dilaporkan, tidak termasuk hospital daerah.

Pada 7 Ogos tahun ini, responden mengaku bersalah di Mahkamah Majistret dan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun untuk setiap kesalahan.

Tomli mengaku bersalah mendera anaknya di sebuah rumah tidak bernombor di Kg Tunoh, Penampang, antara 10 dan 25 Jun tahun ini dan antara jam 4 dan 5 pagi.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 325 kanun sama, yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan