Jumaat, 19 Oktober 2012

Barangan KR1M Dapat Respons Positif Di Miri


MIRI: Barangan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) setakat ini menunjukkan maklum balas positif terutamanya daripada penduduk di kawasan pedalaman sekitar Miri.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Miri, Zakaria Awang berkata, Miri kini mempunyai dua pembekal barangan kering KR1M.

“Kita ada dua syarikat yang membekalkan barangan KR1M di Miri iaitu Tong Seng Huat Sdn Bhd dan Telang Usan Trading (Sarawak) Sdn Bhd,” ujarnya.

Sehubungan itu, para pengedar barangan subsidi kering dinasihati agar mengambilnya daripada dua syarikat tersebut.

“Selain memperkenalkan barangan KR1M, ia juga merupakan barangan yang telah diberikan harga subsidi dan lebih murah daripada barangan biasa,” ujarnya.

Barangan KR1M juga, kata Zakaria, adalah sebahagian usaha pihak kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat, terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Sudah diakui, beberapa barangan KR1M terbukti lebih baik daripada barangan biasa yang dijual di pasaran sekarang ini,” jelas beliau.

Awal Oktober lalu, KPDNKK melalui Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu sebanyak 57 KR1M bakal dibuka di Sarawak, Sabah dan Labuan.

Ini berikutan kementerian tersebut yang telah mendapatkan peruntukan RM87 juta dalam Belanjawan 2013.

Setakat ini, menurut Ismail, hanya terdapat dua KR1M di Sarawak yang mana kedua-duanya terletak di Kuching.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan