Ahad, 7 Oktober 2012

Derita Di Usia Senja

Keadaan pondok milik Mujan yang didirikan di atas sebidang tanah milik orang

SIBU: Tidak seperti warga emas lain yang rata-ratanya menikmati keselesaan hidup pada usia senja, namun Mujan Nyegang, 60, sebaliknya hidup sebatang kara di pondok usang dan terpinggir daripada segala kemudahan asas.

Mujan yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan, hidup seorang diri di pondok usang yang didirikan di atas sebidang tanah milik orang lain di Sungai Belalang Salim.

Derita Mujan, semakin bertambah apabila beliau ditinggalkan suami tercinta yang meninggal dunia, awal bulan ini.

Ketika ditemui semalam, Mujan yang masih sebak dengan apa yang menimpanya mendakwa beliau tidak mempunyai anak.

“Selepas suami saya meninggal, saya tinggal seorang diri di dalam pondok usang ini yang tidak mempunyai kemudahan asas.

“Saya mempunyai adik-beradik lain yang kesemuanya perempuan… tetapi saya lebih selesa dengan keadaan diri sekarang daripada menyusahkan mereka,” katanya.

Ditanya sama ada beliau dan mendiang suaminya pernah menerima atau memohon bantuan kebajikan sebelum ini, Mujan memberitahu memang ada.

Begitupun, bantuan yang dikatakannya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya diagihkan kepada suaminya sahaja.

Katanya beliau tidak dapat memohon sebarang bantuan kerana tidak mempunyai kad pengenalan atau MyKad.

Beliau juga memberitahu bahawa mereka tidak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diagihkan awal tahun ini.

“Seperti biasa, hanya suami saya sahaja yang memohon memandangkan saya tidak mempunyai MyKad.

“Selain itu, kami juga pernah memohon bantuan rumah daripada pihak terbabit, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang jawapan,” katanya.

Justeru, beliau merayu pihak berkenaan agar kesulitan hidup yang dialaminya dapat diringankan.

Sementara itu, Tuai Rumah Akul Dagang menjelaskan bahawa permohonan untuk bantuan rumah Mujan telah dikemukakan pada tahun lalu.

Beliau berkata seandainya bantuan tersebut diluluskan, rumah warga emas itu dijangka akan dibina ber-hampiran dengan rumah panjangnya.

Tambah Akul, pihaknya juga akan berusaha memberi bantuan lain kepada Mujan mengikut kemampuan masing-masing.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan