Rabu, 17 Oktober 2012

Dua Buruh Didakwa Curi Segulung Kabel Elektrik


Gambar Hiasan

MIRI: Dua buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret pagi semalam atas tuduhan mencuri segulung kabel elektrik berukuran 10 meter panjang kepunyaan majikan mereka.

Muhd Hafizuddin Benyamin dan Mohd Hirazman Raduan, masing-masing dari Kampung Bakong, Oya dan Jalan Sultan Tengah, Kuching telah didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai buruh pemasang tiang elektrik didapati telah mencuri segulung kabel jenama Simlex berukuran 10 meter panjang yang bernilai RM500 kepunyaan majikan mereka iaitu Citra Alti Sdn Bhd.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 12.10 tengah malam, 14 Oktober lalu di kawasan terbuka tempat simpanan kabel yang berpagar di Lot 206 Tukau, Jalan Bakam di sini.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan salah kedua-dua tertuduh direkodkan.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Oktober ini untuk sebutan lanjut kes. Manakala kedua-dua tertuduh dibenarkan dibebas dengan ikat jamin masing-masing RM1,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Norliza Abdullah di hadapan Pendaftar Mahkamah Rendah Haizah Tamin


Tiada ulasan:

Catat Ulasan