Rabu, 17 Oktober 2012

Era Baharu Selatan Filipina

Najib dan Benigno menyaksikan detik bersejarah

MANILA - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perjanjian rangka kerja antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bagi penubuhan wilayah autonomi Bangsamoro merupakan peluang memastikan penduduk wilayah itu dapat menikmati manfaat keamanan yang memang mereka berhak.

Bercakap pada majlis menandatangani perjanjian bersejarah itu di Dewan Rizal di Istana Malacanang di sini semalam, Perdana Menteri berkata, perjanjian tersebut merupakan peluang untuk mengembalikan semula martabat penduduk wilayah selatan Filipina selepas dibelenggu pergolakan ganas lebih 40 tahun di wilayah itu.

Memberi jaminan kepada rakyat Filipina bahawa Malaysia akan berdiri bersama mereka dalam memastikan rangka kerja perdamaian berjalan lancar, Najib semasa ucapan 15 minit itu berkata, Kuala Lumpur sedia membantu sebagai rakan kepada perdamaian tersebut.

"Adalah menjadi harapan besar saya bahawa perjanjian ini membawa kepada era kesederhanaan baharu yang mana amalan agama dan hak untuk hidup bersama tidak lagi menjadi isu konflik. Penduduk pelbagai agama dapat hidup bersama secara aman di bawah satu perlembagaan.

"Perjanjian yang kita saksikan pada hari ini menandakan permulaan era baharu di selatan Filipina. Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang menjayakan usaha ini dan saya tidak sabar-sabar untuk melihat perjanjian muktamad nanti," katanya yang menyaksikan majlis itu bersama Presiden Filipina, Benigno Aquino III.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan