Rabu, 10 Oktober 2012

Juruteknik Ditemui Mati Di Dalam Bilik Tidur

SIBU: Seorang juruteknik di Jabatan Kerja Raya, di sini ditemui mati di dalam bilik tidur di kediamannya di Tingkat 4, Flat JKR di Teku petang kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai David Sudin, 53, berbangsa Melanau dan berasal dari Mukah, dikatakan tinggal berseorangan di flat tersebut.

Menurut jiran-jiran yang tinggal berdekatan, mendiang jarang berada di rumah dan mereka tidak melihatnya kira-kira empat hari sehinggalah mereka terhidu sesuatu bau yang sangat busuk pada jam 6.00 petang itu.

Seorang jiran mangsa, Mohd Salleh, 30, cuba memanggil mangsa dari luar namun tiada tindak balas memaksanya memanjat ke dalam rumah melalui pintu belakang.

Apabila Mohd Salleh berjaya masuk ke dalam, alangkah terkejutnya dia apabila ternampak mangsa berada dalam keadaan tidak bergerak dan meniarap dan hanya berseluar pendek dan lantai di biliknya dipenuhi darah.

Sejurus selepas itu, mereka terus menghubungi polis peronda untuk melakukan siasatan.

Tiada kesan luka terdapat di badan mangsa dan polis telah menglasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.

Polis daripada Balai Sungai Merah turut dihubungi untuk menguruskan penghantaran mayat mangsa yang tiba di Hospital Sibu pada jam 8.00 malam itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan