Jumaat, 19 Oktober 2012

Maut Jatuh Dari Tingkat 7 Bangunan Hospital Umum Sarawak


KUCHING: Seorang lelaki maut akibat terjatuh dari tingkat tujuh bangunan Hospital Umum Sarawak (HUS) semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching (KPD) ACP Roslan Bek Ahmad berkata mangsa iaitu Jong Aik Hui, berusia 30-an, dari Jalan Jugan, Siniawan,Bau dipercayai terjun dari tingkat tujuh bangunan tersebut dan dijumpai tersangkut di tingkat dua bangunan yang sama sekitar jam 1.15 petang semalam.

Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di unit kecemasan HUS akibat kecederaan serius yang dialaminya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia semasa dirawat di unit kecemasan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,”katanya ketika diminta mengesahkan kejadian tersebut semalam.

Menurut Roslan, mangsa berada di HUS untuk menjaga datuknya yang kini sedang menerima rawatan di HUS sejak seminggu lepas.

“Mangsa merupakan penagih dadah dan baru balik dari Johor pada bulan Ogos lepas. Mangsa diberi cuti dari pusat serenti untuk menjaga datuknya yang dimasukkan ke HUS,”katanya.

Menurut sumber sebelum kejadian, mangsa telah didatangi seorang ibu saudara yang datang untuk menjenguk datuknya yang kemudian menyuruh mangsa pergi makan sementara dia masih berada di situ.

Selepas sekian lama menunggu, ibu saudara mangsa mula risau namun tidak dapat menghubungi mangsa kerana mangsa tidak membawa telefon bimbit bersamanya.

Ibu saudara mangsa kemudian pergi mencari mangsa dan berhenti sebentar selepas melihat keadaan kecoh tidak jauh dari wad di mana datuk mangsa ditempatkan.

Ketika mendekati tempat kejadian, dia terkejut selepas melihat mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan diberitahu mangsa telah terjatuh dari tingkat atas bangunan HUS tersebut.

Mangsa kemudian dikejarkan ke unit kecemasan namun disahkan meninggal dunia selepas itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan