Jumaat, 19 Oktober 2012

Pasang CCTV Resolusi Tinggi

Mun Kock Keong

MIRI: Semua pemilik premis perniagaan disaran memasang kamera litar tutup (CCTV) beresolusi tinggi di premis masing- masing bagi memudahkan polis mengecam wajah penjenayah sekiranya berlaku sebarang kes kecurian atau rompakan.

Ketua Polis Daerah (KPD) Miri, Asisten Komisioner (ACP) Mun Kock Keong berkata, CCTV beresolusi tinggi membolehkan rakaman lebih jelas sekali gus membantu polis membuat pengecaman wajah suspek dengan lebih mudah dan berkesan.

“Ini terbukti apabila kita berjaya menyelesaikan 10 kes rompakan yang berlaku baru-baru ini dengan mengenal pasti wajah suspek berdasarkan rakaman CCTV yang dipasang di beberapa premis perniagaan yang dirompak.

“Pemasangan kamera ini biarlah lebih daripada satu untuk merakam segenap sudut premis berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan KPD, Superintenden Sapian Selihin dan pegawai penyiasat kes, Inspektor Mansur Rahman.

Mun turut menasihati para peniaga agar sentiasa meningkatkan tahap keselamatan di premis masing-masing memandangkan modus operandi penjenayah adalah menjadikan kedai yang kurang pelanggan dan juruwang wanita sebagai sasaran.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa terharu dengan ucapan tahniah dan syabas yang diberikan Hakim Mahkamah Sesyen, Awang Kerisnada Awang Mahmud kepada Polis Diraja Malaysia Miri atas kejayaan menyelesaikan 10 kes rompakan dalam masa yang singkat.

Ucapan tahniah itu diberikan sebelum hakim terbabit menjatuhkan hukuman penjara 88 tahun dan 40 sebatan ke atas Ting Kuong Hieng, 48, yang mengaku bersalah dan disabitkan dengan sembilan tuduhan melakukan rompakan bersenjata dan satu tuduhan cuba merompak.

“Sepanjang berkhidmat dalam pasukan polis, ini pertama kali saya mendengar hukuman penjara paling lama pernah dijatuhkan ke atas seseorang penjenayah dan ia diharap dapat dijadikan pengajaran kepada tertuduh serta orang awam yang lain agar tidak melakukan kesalahan serupa,” katanya.

Pada sidang media sama, Mun memberitahu seorang warga emas kerugian lebih RM55,000 setelah rumahnya yang terletak di Shang Garden di sini dipecah masuk pencuri pada malam kelmarin.

Berikutan itu, katanya, mangsa yang berusia 60 tahun telah membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri di sini.

Manakala barang-barang yang dilaporkan hilang terdiri daripada wang tunai RM15,000 dan barang kemas bernilai RM40,000 yang disimpan di rumahnya.

“Pencuri dipercayai telah memecah masuk rumah mangsa melalui tingkap dapur di bahagian belakang rumahnya dan polis kini sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kes itu termasuk mengesan suspek yang terbabit,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan