Isnin, 15 Oktober 2012

Pasar Sayur Tempat Jual Heroin

Lorong belakang pasar borong ini lokasi aktiviti penjual dadah

KUALA LUMPUR – Siapa sangka dalam keriuhan dan kesibukan pekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang menyorong bakul sayur dan ikan terselit satu aktiviti pengedaran dadah yang didalangi warga Myanmar sejak beberapa bulan lalu.

Aktiviti haram selama satu jam bermula seawal pukul 6 pagi itu berlaku setiap hari tanpa rasa takut kerana ia dilakukan dalam suasana kelam di tempat letak kereta dan lorong pintu belakang pasar iaitu tempat keluar masuk tong-tong mengandungi pelbagai sayur untuk diniagakan.

Dengan menyamar sebagai pengunjung selama empat jam bermula pukul 5.30 pagi baru-baru ini boleh menyaksikan kelibat pekerja pasar warga Myanmar yang ditugaskan memunggah sayur masuk ke pasar borong dengan pantas dapat mengedar dadah terutamanya jenis heroin kepada pelanggan mereka.

Pemerhatian mendapati, penjual dan pembeli dadah itu mengambil masa tidak lebih 30 saat untuk melakukan satu-satu transaksi.

Heroin pula merupakan jenis dadah yang mendapat permintaan ramai dalam kalangan pelanggan yang singgah untuk mendapat barang terlarang itu.

Dadah yang dijual oleh pekerja asing di pasar borong itu pula diletakkan di dalam kotak rokok. Hanya dalam sekelip mata kotak rokok berisi dadah itu bertukar tangan dengan wang penagih dadah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan