Khamis, 11 Oktober 2012

Pencarian Anak Angkat Sumbang Kes Dagang Bayi


KUALA LUMPUR: Perbuatan membeli bayi untuk dijadikan anak angkat oleh pasangan yang sukar mendapat zuriat merupakan antara punca berlakunya kes pemerdagangan bayi di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kie berkata faktor lain yang menyumbang kepada penjualan bayi ialah akibat kemiskinan atau hutang, kelahiran anak luar nikah serta pihak yang sengaja memerdagangkan bayi untuk mengaut keuntungan.

Heng berkata statistik menunjukkan 32 kes pemerdagangan bayi direkodkan di seluruh negara sejak 2010 membabitkan 13 kes pada 2010, 2011 (11 kes) dan lapan sehingga Julai tahun ini.

Antara langkah yang diambil pihaknya untuk mengelak kes seumpama itu berterusan ialah memperkenal proses permohonan mengambil anak angkat menerusi talian.

“Menyedari keinginan ibu bapa yang tidak berzuriat mengambil anak angkat, kerajaan mempermudah (proses itu) bagi mereka yang berminat,” katanya menjawab soalan lisan Tan Ah Eng (BN-Gelang Patah) berhubung langkah kerajaan mencegah penjualan bayi pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.

Heng berkata, mereka yang terlibat dengan pemerdagangan bayi boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Anti Pemerdagangan dan Penyeludupan Migran 2007.

Menjawab soalan Tan mengenai usaha mengatasi masalah pengemis warga asing di Malaysia, Heng berkata kementerian bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat mengadakan operasi bersepadu bersama pihak lain seperti Imigresen, Polis serta pihak berkuasa tempatan untuk menganganinya.

Beliau berkata 1,190 operasi seumpama itu diadakan pada 2011 dan sehingga Jun tahun ini, 615 operasi berkenaan dijalankan.

Heng berkata pada 2011, 1,408 pengemis termasuk 318 warga asing ‘diselamatkan’ manakala sehingga Jun lepas, jumlahnya ialah 504 pengemis termasuk 119 warga asing.

Beliau berkata pengemis warga asing yang diselamatkan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang ke negara asal, dan sekiranya ia melibatkan sindiket, hukuman tertentu mengikut Akta Anti Pemerdangangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta Akta Kanak-kanak 2001 akan digunakan.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim berkata bakat muda sukan yang tinggal di luar bandar boleh diletak di bawah program atlet pelapis selepas kebolehan mereka dikesan.

Menjawab soalan Datuk Abdul Wahab Dollah (BN-Igan), beliau berkata langkah itu membolehkan mereka mendapat perhatian dan nasihat daripada pakar berkenaan.

Beliau turut berkata kementerian tidak berhak memaksa mana-mana atlet meneruskan pembabitan dalam bidang sukan atau meneruskan pengajian.

“Kita perlu sedar trend masa kini ialah atlet menjadikan sukan sebagai pendapatan utama seperti Nazmi Faiz Mansor yang memilih untuk bermain diliga bola sepak Eropah walaupun masih belum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan