Khamis, 4 Oktober 2012

Penggal Kepala Rakan


KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan menyebabkan kematian seorang lelaki warga asing, pada tahun lalu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Zulkifli Abllah menjatuhkan hukuman itu terhadap Charlie Baay Seranas, yang mana kelmarin adalah untuk fakta dan jatuh hukum.

Pada 10 Jun tahun lalu, jam 9.30 hingga 9.50 pagi di kawasan bengkel KNB Enterprise, Kg Kandazon, Penampang, tertuduh telah menyebabkan kematian rakannya, Asri Patahuddin, 37.

Charlie yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Kelmarin, barang bukti telah dikemukakan di mahkamah oleh Timbalan Pendakwaraya Monica Linsua antaranya pisau pemotong daging, pedang samurai dan batang besi yang telah digunakan dalam kes terbabit.

Mengikut fakta kes, pada 10 Jun 2011 jam lebih kurang 9.30 pagi, pengadu yang bertugas di bilik gerakan IPD Penampang menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengatakan ada seorang lelaki membawa parang di tempat kejadian.

Selepas menerima maklumat, dua anggota BIT terus menuju ke tempat itu. Pihak polis bersama beberapa pekerja bengkel membuat pemeriksaan dan menjumpai mayat si mati disembunyikan di belakang sebuah van dan kepalanya terpisah dari badan.

Kepala si mati telah diletakkan di dalam guni dan dilumuri minyak hitam di sebelah dengan mayat si mati. Dua senjata, iaitu sebilah parang dan pisau dijumpai berhampiran tandas bengkel dalam keadaan bersih dipercayai dicuci oleh tertuduh. Manakala, satu batang besi berlumuran darah ditemui dekat pejabat bengkel.

Darah si mati yang berlumuran di atas lantai di depan pejabat disimbah dengan minyak hitam, manakala darah yang berlumuran berhampiran tandas disiram air. Sehelai baju dalam keadaan basah milik tertuduh ditemui di dalam tandas bengkel dan terdapat kesan darah si mati, dipercayai dicuci oleh tertuduh.

Keterangan menunjukkan si mati dan tertuduh berkerja seperti biasa sebagai rakan. Namun, tiba-tiba tertuduh menyerang si mati dengan parang serta menetak kepalanya. Pada masa itu, si mati sempat bergelut.

Melihat kejadian itu, pekerja-pekerja lain bertempiaran lari kerana takut kecuali seorang seorang rakan si mati yang cuba menolong dengan mengambil kerusi besi dan memukul tertuduh. Namun, tertuduh bertindak agresif dan rakan si mati terus melarikan diri.

Setelah si mati tidak bermaya, tertuduh telah menariknya ke depan pejabat bengkel dan menetak kepala serta lehernya beberapa kali. Tertuduh kemudian mengambil pisau dari dapur dan memotong leher si mati hingga putus.

Tertuduh telah ditangkap pada hari sama dan dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang untuk pemerhatian, doktor psikiatrik mendapati tertuduh mempunyai penyakit mental Schizophrenia.

Terdahulu, Charlie merayu agar hukumannya diringankan kerana mempunyai seorang isteri dan anak, ibu bapa yang telah tua, dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Bagaimanapun, Monica menegaskan hukuman berat harus dijatuhkan dan mahkamah perlu mengambil kira keseriusan kesalahan serta fakta yang tertuduh telah menyerang mangsa dengan kejam serta menggunakan tiga senjata.

Tambahnya, pihak polis juga gagal menghubungi keluarga mangsa yang sudah berpindah ke Tawau dan nombor telefon yang digunakan telah tamat perkhidmatan.

“Mahkamah juga harus mengambil kira kesengsaraan isteri dan anak mangsa. Hukuman penjara yang lama adalah cara terbaik untuk melindungi kepentingan awam,” katanya dan menambah, pengakuan salah tertuduh bukanlah alasan untuk dijatuhkan hukuman ringan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan