Rabu, 17 Oktober 2012

Polis Jumpa Mayat Wanita Berulat


GEORGE TOWN - Polis menemui mayat seorang wanita dalam keadaan berulat dan telah reput di sebuah rumah papan di Estet Hong Seng, Mount Erskine, di sini, semalam.

Mayat Ch’ng Sooi Inn, 52, ditemui dalam keadaan bogel dan terlentang di ruang tamu kediamannya kira-kira pukul 8.30 malam.

Sumber polis berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat yang menghidu bau busuk di sekitar kawasan tersebut sejak beberapa hari lepas.

"Polis terpaksa memecah masuk pintu kediaman wanita terbabit dan polis menemui kad rawatan psikiatri, preskripsi ubat sakit jantung dan kencing manis di rumahnya,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata wanita itu tinggal seorang diri dan jarang dikunjungi ahli keluarganya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi berkata siasatan awal mendapati mangsa mungkin mati sejak beberapa hari lepas berdasarkan keadaan mayatnya yang sudah berbau dan mereput.

"Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan tiada unsur jenayah disyaki,” katanya.

Katanya mayat Ch’ng telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat hari ini. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan