Jumaat, 19 Oktober 2012

Rayuan hukuman mati ditolak


KUCHING: Rayuan hukuman mati seorang lelaki dari Sri Aman yang didapati bersalah atas tuduhan membunuh ditolak oleh Mahkamah Rayuan di sini, semalam.

Tommy Sebi, 51, kekal menjalani hukuman tersebut apabila ia diputuskan oleh panel dianggotai tiga hakim diketuai Datuk Abdul Wahab Patail selepas meneliti kes dibentangkan oleh pihak pendakwa dan peguam bela Tommy, Abdul Rahman Mohd Hazmi.

Anggota panel yang lain ialah Datuk Zaharah Ibrahim dan Datuk Mohammad Ariff Md Yusof.

Pada 8 Ogos 2010, Tommy dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Ravinthran N. Paramaguru selepas didapati bersalah membunuh Gedik Usit, 63, empat tahun lepas.

Dia membunuh penjaga tandas awam berkenaan di tandas tempat kerja mangsa dekat pasar basah Sri Aman antara jam 5 pagi dan 5 petang, 4 April 2009.

Antara alasan permohonan dikemukakan Abdul Rahman ialah Tommy mengalami halusinasi dan masalah mental serta tidak mengambil ubat kira-kira dua bulan sebelum insiden.

Katanya Tommy pernah menjalani rawatan psikiatri 10 tahun sebelum insiden. Doktor yang membuat pemeriksaan terhadap Tommy bagaimanapun mengesahkan dia normal.

Sebelum dibicarakan di mahkamah, dia menjalani pemantauan psikiatri selama sebulan di Hospital Sentosa. Dalam kes tersebut, Gedik mati di tempat kejadian akibat ditikam beberapa kali menggunakan pisau.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan