Rabu, 17 Oktober 2012

Sihanouk Meninggal Dunia Di Beijing

Gambar fail menunjukkan Raja Sihanouk di Oudong, Kemboja pada 9 Disember 2002

PHNOM PENH - Bekas pemerintah Kemboja, Raja Norodom Sihanouk, 89, meninggal dunia di Beijing, China semalam.

Penduduk Kemboja berkabung bagi menghormati jenazahnya yang akan dihantar pulang ke Kemboja untuk diberi penghormatan terakhir.

Menurut pembantu peribadinya, Putera Sisowath Thomico, Raja Sihanouk kerap berkunjung ke Beijing sejak Januari 2005 bagi menjalani rawatan perubatan. Baginda meninggal dunia akibat serangan sakit jantung.

"Raja Sihanouk bukan milik keluarganya. Baginda milik negara Kemboja dan sejarah negara. Ia sesuatu yang menyedihkan. Saya berasa sangat sedih," kata Thomico.

Raja Sihanouk yang menyerahkan takhta kepada anaknya, Raja Norodom Sihamoni pada Oktober 2004 turut mengalami beberapa masalah kesihatan seperti kanser usus, kencing manis, darah tinggi dan pernah dua kali diserang strok. Jenazah Raja Sihanouk akan dibawa pulang ke tanah airnya.

Raja Sihamoni dan Perdana Menteri Hun Sen mengalirkan air mata selepas berita kematian tersebut diumumkan akan berangkat ke Beijing untuk mengiringi jenazah baginda.

Jurucakap pemerintah Kemboja, Khieu Kanharith berkata, jenazah baginda akan diletakkan di istana Diraja di sini bagi memberi peluang kepada rakyat Kemboja untuk memberi penghormatan terakhir.

Baginda menjadi raja pada September 1941 selepas ditabalkan penjajah Perancis.

Baginda digulingkan menerusi rampasan kuasa yang dilakukan Jeneral Lon Nol yang disokong Amerika Syarikat pada 1970.

Raja Sihanouk kemudian ditahan di istana oleh rejim Khemer Rouge selama beberapa bulan.

Baginda menjalin hubungan yang rapat dengan para pemimpin revolusi China seperti Mao Zedong dan Zhou Elai.

Raja Sihanouk melarikan diri ke China sebelum Vietnam menceroboh dan menggulingkan pemerintahan Khemer Rouge.

Baginda menganggap China sebagai rumahnya yang kedua dan menghabiskan banyak masa di negara itu bersama isterinya, Monique. - Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan