Isnin, 15 Oktober 2012

Suspek Kes Curi Atas Kapal Dagang Ditahan

Suspek yang dipercayai terlibat kes kecurian kapal dagang di perairan Sandakan

SANDAKAN: Hasil maklumat orang awam, pasukan Polis Marin Wilayah 4 di sini menahan seorang daripada tiga suspek yang dipercayai terlibat kes kecurian di atas kapal dagang yang berlabuh di Pelabuhan Sandakan, Jumaat lalu.

Ketua Pasukannya, Asisten Komisioner Polis (ACP) Abdul Manap Othman dalam satu kenyataan berkata, suspek seorang lelaki berumur 32 tahun dan tidak mempunyai keterangan diri ditangkap di sebuah pondok di Kampung Sundang Laut, Karamunting di sini kira-kira jam 12.30 tengahari pada hari yang sama.

Ketika ditangkap, suspek sedang asyik menghisap dadah dan pihaknya turut menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah beserta kertas timah pada badan suspek.

“Dalam serbuan itu, pasukan polis diketuai Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Sandakan, ASP Gan Ping Sin, berjaya menemui beberapa barang yang disyaki dicuri selain merampas sebuah bot laju bersama enjin sangkut dan sebatang galak kayu bersama cakuk besi yang dipercayai digunakan semasa kes curi,” katanya.

Selain itu, dua lagi suspek iaitu seorang pengusaha kedai runcit berumur 56 tahun dan seorang pengurus kilang besi buruk berumur 37 tahun turut ditahan pada hari yang sama atas kesalahan memiliki atau membeli barang curi.

Hasil pemeriksaan ke atas kilang besi itu yang terletak di Batu 5, Jalan Ulu Sibuga membawa penemuan beberapa barangan yang dipercayai dicuri termasuk seunit loceng tembaga kuning, 48 batang bolt dan nat steel, empat buah internal national connection coupling steel, 28 clamp tembaga kuning, lapan cock handle tembaga kuning, tiga cock tembaga kuning, 12 extention pipe tembaga kuning dan resit jualan.

Abdul Manap berkata, pihak polis kini meneruskan usaha mencari dua lagi rakan sepenjenayah suspek pertama yang terlibat kes itu selain mempercayai mereka juga melakukan beberapa kes kecurian kapal dagang dan bot di perairan Sandakan sebelum ini.

Suspek pertama akan didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, sementara dua lagi suspek yang ditahan akan disiasat dan dituduh mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Abdul Manap turut menyeru orang ramai dan juga peniaga terutama kilang besi buruk supaya tidak membeli barangan yang disyaki dicuri. Mereka yang disabit kesalahan membeli atau memiliki barang curi boleh dipenjara sehingga 5 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan