MIRI: Sudah tiba masa bagi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menimbang keperluan membina sebuah balai polis di kawasan Tudan yang menempatkan kawasan perumahan dan bandar baru yang terbesar serta paling membangun di utara negeri ini.
Menteri Muda Komunikasi, Datuk Lee Kim Shin memberitahu pembangunan pesat di kawasan Tudan yang menyaksikan Bandar Baru Permyjaya sebagai pusat pembangunannya, perlu diberi perhatian oleh pihak polis kerana jumlah populasi yang semakin bertambah.
“Setiap tahun ada sahaja kawasan perumahan dan penempatan dibuka dan setiap tahun juga jumlah populasi di Tudan bertambah dengan mendadak, di samping kegiatan ekonomi dan komersil yang turut meningkat.
“Justeru pembangunan yang pesat ini perlu diberi perhatian agar keselamatan dan ketenteraman awam terjaga dan saya rasa sudah tiba masanya bagi kawasan Tudan untuk memiliki sebuah balai polis kecil,” katanya.
Bercakap kepada pemberita ketika diminta mengulas insiden rompakan yang membabitkan nyawa seorang warga emas di Bandar Baru Permyjaya di Tudan petang Sabtu lalu, Lee memberitahu dengan adanya sebuah balai polis walaupun kecil, ia sedikit sebanyak boleh menyumbang kepada usaha dan tindakan pihak polis dalam mengawal kegiatan jenayah di kawasan tersebut.
Lee yang juga Menteri Muda Sukan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Senadin) berkata, apabila populasi semakin bertambah, kegiatan jenayah sedikit sebanyak turut meningkat apatah lagi dengan adanya penduduk warga asing seperti Bangladesh dan Indonesia yang banyak menetap di sini kerana bekerja dengan syarikat-syarikat pemaju dan industri yang terdapat di Tudan.
“Bagi memenuhi keperluan penduduk, saya mencadangkan kepada pihak polis, sama ada mereka membina bangunan sendiri ataupun menyewa blok bangunan kedai yang banyak dibina di sini untuk dijadikan sebuah balai polis yang kecil dan ditempatkan di lokasi strategik.
“Dengan demikian, kes-kes jenayah bukan sahaja cepat dilaporkan malah polis boleh bertindak pantas selain dapat melakukan rondaaan lebih kerap atau 24 jam kerana ada balai di sini,” tambahnya.
Lee memberitahu rondaan bukan hanya dilakukan pada malam hari sahaja sebaliknya juga waktu siang terutama pada waktu bekerja kerana pada masa ini semakin ramai pasangan suami isteri yang sama-sama bekerja.
Malah katanya, jenayah hari ini terutama pecah rumah mahupun rompakan bukan lagi berlaku di malam hari sebaliknya ia boleh terjadi pada waktu yang tidak disangka, pada siang hari.
Beliau yang ditemui di Lapangan Terbang Miri sebelum berlepas ke Kuching semalam, turut menggesa kawasan Rukun Tetangga (RT) supaya perlu lebih proaktif terutama dalam menjalankan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di setiap kawasan perumahan.
“Saya berharap agar masyarakat setempat bekerjasama dengan pihak polis dan jawatankuasa RT, untuk sama-sama memantau keadaan sekeliling dan melaporkan segera jika ternampak keadaan atau sikap individu yang mencurigakan.
“Dengan demikian kita bukan sahaja dapat menghalang sesuatu yang tidak diingini berlaku tetapi turut sama membantu membanteras dan isu-isu jenayah di kawasan masing-masing,” tambahnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan