Khamis, 4 Oktober 2012

Wanita Dera Cicit Dipenjara 28 Bulan


SANDAKAN: Seorang wanita dijatuhkan hukuman penjara selama 28 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin atas kesalahan mendera cicitnya yang berusia setahun lebih.

Majistret Mohd Zairi Zainal Abidin menjatuhkan hukuman itu ke atas Umpong Tenitoi, 56, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan penderaaan fizikal terhadap mangsa, dalam tempoh sebulan lebih di rumah mereka di No 46, Tingkat 3, Blok 4, Flat Sri Taman di sini.

Berdasarkan fakta kes, cucunya yang tinggal bersama mereka kerap melihat mangsa dipukul oleh tertuduh hingga mengalami luka-luka di bahagian badan dan dimasukkan ke hospital.

Ketika mangsa dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan pada 27 Ogos lepas, cucunya kemudian menceritakan kejadian mangsa didera kepada seorang jururawat dan laporan polis dibuat berhubung kes itu.

Tertuduh kemudian ditangkap dua hari selepas itu dan beberapa barangan yang dipercayai digunakan tertuduh ketika mendera mangsa seperti senduk, sudip, bungkusan cili api dan beberapa kotak rokok turut dirampas.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah menjaga mangsa kira-kira setahun lebih selepas ibunya menyerahkan mangsa sebelum menghilangkan diri dan gagal dikesan sehingga kini.

Tertuduh mengaku memukul mangsa menggunakan senduk memasak, memulas kedua belah tangan, meletakkan cili api di kedua-dua mata serta mencucuh puntung rokok yang masih menyala di muka sehingga mangsa mengalami sawan.

Perbuatan sedemikian dilakukan hanya kerana tertuduh tidak tahan dan tidurnya terganggu dengan keadaan mangsa yang sering menangis.

Selain itu, tertuduh juga mengugut cucunya agar tidak menceritakan kejadian berkenaan kepada orang lain. Atas kesalahan itu, Umpong didakwa mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Majari Awal Jari.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan