Sabtu, 13 Oktober 2012

Bekas Tukang Masak Bebas Hukuman Gantung

Len tersenyum mendengar penerangan daripada peguamnya

KOTA KINABALU: Seorang bekas tukang masak bernasib baik apabila Mahkamah Rayuan di sini kelmarin mengenepikan sabitan dan hukuman gantung mandatori atas kesalahan mengedar syabu seberat 222.77 gram, empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Tuan Mah Weng Kwai serta Hakim Mahkamah Tinggi Datuk David Wong Dak Wah, sebulat suara membenarkan rayuan Len Chea Ho yang menentang terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi.

Mahkamah, bagaimanapun, berpendapat pihak pendakwaan telah membuktikan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama, kerana memiliki dadah.

Hukuman yang diperuntukkan boleh dipenjara sehingga 30 tahun atau tidak kurang lima tahun, dan juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada sepuluh sebatan.

Len yang berusia 46 tahun, diwakili peguam Hamid Ismail dan Chin Tek Ming dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan sepuluh sebatan oleh mahkamah, serta diarahkan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap.

Dalam mengenepikan sabitan dan hukuman itu, Syed Ahmad menyatakan bahawa hakim mahkamah rendah telah melanggar undang-undang mengikut andaian berlainan.

Beliau menyatakan, hakim mahkamah rendah telah mengandaikan atas kesalahan memiliki dadah mengikut Seksyen 37 (d) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 37 (d) akta sama.

Terdahulu, Chin dalam hujah rayuannya berkata perayu tahu bahawa dia bernasib baik kerana telah dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah dan telah menyesal atas kejadian itu.

Tambahnya, perayu mempunyai masalah kesihatan dan mempunyai penyakit strok serta tekanan darah tinggi dan telah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth pada 2003. Chin juga telah dipenjarakan bermula dari 10 September 2009 sejak dia ditangkap.

Timbalan Pendakwaraya Najib Zakaria, bagaimanapun, memohon agar hukuman berat harus dijatuhkan demi kepentingan awam untuk dilindungi.

Pada 3 November 2010, perayu dijatuhkan hukuman gantung mandatori, selepas didapati bersalah mengedar syabu jenis Methamphetamine seberat 222.7 gram, di kawasan tempat letak kereta di Sabah Trade Center, Likas, jam 1.10 petang pada 10 September 2009.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39 B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan