Khamis, 11 Oktober 2012

Bunuh Kekasih Gelap Isteri

Elvinhal dikawal oleh anggota polis bertugas di Mahkamah Tawau

TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini kelmarin menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bermula dari tarikh tangkap ke atas seorang lelaki warga Filipina yang mengaku bersalah menyebabkan kematian ‘kekasih gelap’ isterinya dengan parang barung.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Douglas Primus Sikayun membuat keputusan itu terhadap Elvinhal Tahir, 31, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan turut mengarahkannya agar diusir ke negara asal selepas tamat menjalani hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan kes, Elvinhal telah menyebabkan kematian rakannya, Abdul Hakim @ Hakim Human, 37, di kawasan pengeringan ikan di Kg Titingan Blok 2, Jalan Damai, pada 27 November 2009 lebih kurang jam 11 malam.

Kedua-dua mereka bekerja sebagai buruh binaan dan perselisihan antara mereka timbul selepas Elvinhal mendapat tahu tentang hubungan sulit isterinya bersama Hakim lima hari sebelum kejadian.

Menurut fakta kes, tertuduh dan isterinya telah merujuk permasalahan rumahtangga mereka kepada seorang lelaki bernama Edin Raji yang dianggap sebagai ketua blok dan berkata mereka sudah tidak hidup bahagia dan ingin bercerai.

Pada hari sama, mangsa bersama tiga rakannya, Sarip Barik Sarip Ali, Melson Ahajul dan Mat Husin Nasir sedang bermain domino di kawasan itu dan anak lelaki si mati bernama Sabri, 12, turut berada di lokasi kejadian.

Semasa mereka sedang bermain domino, Elvinhal dikatakan muncul secara tiba-tiba di belakang Hakim dan terus menetak si mati beberapa kali di bahagian leher dan bahu sebelum meninggalkan tempat kejadian.

Oleh kerana ketakutan, kesemua saksi termasuk anak si mati bertindak terjun ke dalam laut dan melarikan diri kerana bimbang turut ditetak sama, sementara Elvinhal pula melarikan diri ke arah jalan raya sambil membuang parang yang digunakannya.

Terdahulu, tertuduh ditangkap oleh pihak berkuasa pada 1 Disember 2009 dan mula dibicarakan pada 29 Mac 2012 tetapi menukar pengakuan bersalahnya kepada pertuduhan alternatif.

Tertuduh didapati mempunyai dua rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar sementara, tertuduh pula diwakili oleh Peguam Rozainah Mohd Said.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan