Khamis, 11 Oktober 2012

Polis Rampas 21,300 Keping DVD Cetak Rompak

Saiman menunjukkan antara DVD cetak rompak yang dirampas

KOTA KINABALU: Dua premis disita polis setelah didapati menjual DVD haram dalam serbuan bersempena Operasi Ostrich (Ops Ostrich) yang dilakukan di pusat beli-belah Centre Point, di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Negeri, Superitendan Saiman Kasran, berkata dalam serbuan yang dilakukan di dua-dua premis berkenaan, pihaknya berjaya merampas 21,300 keping DVD dipercayai mencecah RM106,500 mengikut harga pasaran.

Jelasnya, serbuan dilakukan hasil daripada maklumat awam dan risikan polis itu turut menyaksikan seorang lelaki dan remaja perempuan tempatan, masing-masing berusia 24 dan 17 tahun, ditahan untuk membantu siasatan.

“Serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah premis kira-kira jam 3.30 petang dan kita berjaya merampas sebanyak 1,650 keping DVD cetak rompak yang dipamerkan untuk jualan kepada orang ramai di situ. Kita turut menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai sebagai penjaga premis berkenaan.

“Untuk serbuan kedua pula, polis berjaya merampas 19,650 keping DVD cetak rompak di sebuah lagi premis sekitar jam 3.45 petang di mana bekalan DVD disembunyikan di dalam stor yang terletak di belakang kaunter premis berkenaan.

“Turut ditahan seorang remaja perempuan yang merupakan penjaga premis berkenaan,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya kelmarin.

Tambah Saiman, rampasan dan tangkapan itu kini disiasat mengikut Seksyen 18 (4) (a) Akta Penapisan Filem 2002.

“Kesemua DVD yang dirampas adalah cetak rompak tanpa perakuan Sijil B yang dipamer bagi tujuan urus niaga mereka.

“Kes akan disiasat mengikut seksyen 18 (4) (a) Akta Penapisan Filem 2002 yang memperuntukkan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM30,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun sekiranya sabit kesalahan,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan