Jumaat, 19 Oktober 2012

Datuk Tidak Maafkan Pembunuh Cucu




Kasih seorang datuk

BATU PAHAT - "Wak tak akan maafkan dia sampai bila-bila."Demikian luahan datuk kepada bayi malang berusia lapan bulan, Nur Irsyafida Balkis Abdul Azim yang meninggal dunia dipercayai akibat didera teman lelaki ibunya Selasa lalu.

Datuk kepada bayi itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd. Ashak, 71, berkata, sesiapa pun tidak akan dapat memaafkan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.

"Wak tidak faham, mengapa ada manusia tergamak berbuat demikian kepada anak comel sekecil itu," luahnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Kelambu, Peserai di sini semalam.

Menurut Mohd. Ashak, dia menjaga arwah cucunya itu sejak mangsa berusia dua bulan. "Dia jantung hati kami sekeluarga yang menceriakan rumah ini," ceritanya sedih.

Dengan linangan air mata, Mohd. Ashak berkata, dia hanya mampu berdoa agar pihak yang bersalah mendapat pengadilan sewajarnya dan menyerahkan siasatan kepada polis.

Menurutnya, dia tidak dapat melupakan kenangan bersama arwah.

"Bila Wak hendak keluar, Balkis melonjak-lonjak mahu ikut dan bila Wak pulang begitu juga seolah-olah menyambut kepulangan Wak.

"Jiran-jiran juga boleh dengar riuh suara Balkis yang manja dan mahukan perhatian tetapi itu semua hanya tinggal kenangan," katanya.

Semalam melaporkan Balkis meninggal dunia dalam dakapan ibunya, Rafidah Mohd. Ashak, 29, di Hospital Sultanah Nora Ismail di sini pada pukul 2.30 petang dengan tiga kesan retakan di tempurung kepala selain patah kaki dan tangan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, tempoh reman terhadap suspek berusia 34 tahun itu disambung hingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan