Selasa, 9 Oktober 2012

Denggi Ragut Ribuan Nyawa

Penduduk Bintangor melakukan kerja gotong-royong di Maradong, semalam

BINTANGOR: Penyakit demam denggi pertama berlaku di Pulau Pinang pada tahun 1901 dan sehingga sekarang telah meragut ribuan nyawa rakyat negara ini serta jutaan kes dilaporkan.

Ahli Parlimen Sarikei Ding Kuong Hiing berkata denggi adalah berpunca daripada nyamuk aedes aegypti atau albopictus.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan telah bertanggungjawab mengawal penyakit denggi daripada merebak dan setiap tahun menelan perbelanjaan ratusan ribu untuk mencegahnya.

“Di seluruh negara, dari awal tahun hingga sekarang pada tahun ini terdapat 16,000 kes denggi dilaporkan dan terdapat 27 kes kematian.

“Justeru kita boleh membuat kesimpulan bahawa denggi adalah sejenis penyakit berbahaya dan harus berhati-hati menjaga kebersihan persekitaran terutama kawasan air bertakung,” katanya pada Kempen Anti Denggi Peringkat Daerah Meradong di Stadium Persatuan Bola Keranjang Meradong, baru-baru ini.

Tambahnya kerajaan sentiasa peka kepada masalah wabak denggi dan kesihatan rakyat justeru pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Dearah Meradong dan Julau adalah agensi yang memainkan peranan penting.

“Ini untuk memastikan kawasan sekitar Meradong dan Julau dalam keadaan yang bersih tanpa mengira bandar atau luar bandar,” jelasnya.

Ding berkata melalui proses transformasi, kerajaan Barisan Nasional (BN) terus mengutamakan rakyat negeri ini.

“Dalam belanjawan baru-baru ini, rakyat Sarawak telah mendapat faedah paling banyak dan rata-rata penduduk negeri ini memperolehi bantuan serta tidak kurang juga meningkatkan kualiti hidup rakyat dalam bidang kesihatan.

“Dalam pembangunan yang melibatkan banyak aspek, perlu ada sokongan dan peruntukan daripada kerajaan untuk rakyat bagi memastikan agenda semua peringkat dapat diteruskan seperti yang dirancang,” jelasnya.

Dalam kempan itu, pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti membersih longkang, mengutip sampah, tin dan bekas kosong yang menjadi tempat nyamuk membiak dan lain-lain aktiviti pembersihan dilakukan.

Hadir sama Pegawai Daerah Meradong Julahi Mastapa, Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong DSP Mohd Hafifi Salim, ketua masyarakat setempat serta penduduk sekitar Meradong.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan