Selasa, 16 Oktober 2012

Dua pengawal disyaki Curi Wang Tunai RM50,000 Ditangkap


KUCHING: Dua pekerja sebuah syarikat perkhidmatan keselamatan dan pembekal wang tunai ditangkap malam Ahad lalu selepas dipercayai terlibat dalam kes curi wang tunai berjumlah RM50,000 milik syarikat berkenaan.

Kegiatan mencuri itu yang dipercayai dilakukan berkali-kali, disedari selepas seorang juruwang kanan mendapati sejumlah besar wang, iaitu sebanyak RM50,000 yang disimpan dalam bilik kebal syarikat tersebut hilang.

Eksekutif syarikat berkenaan kemudiannya membuat laporan polis berhubung kes berkenaan.

Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) seterusnya mendapati seorang pekerja yang bertugas sebagai penjaga bilik kebal itu dalam keadaan mencurigakan dan menjurus kepada penangkapan tersebut. Suspek pertama, berusia 38 tahun ditahan di rumahnya di Batu Kawa sekitar jam 7 malam.

Polis turut merampas sebanyak 200 keping wang RM50 berjumlah RM10,000 yang diletakkan dalam stor rumah suspek.

Sekitar jam 8.30 malam pula, suspek kedua pula diberkas di rumah kedai di Jalan Central Park dan polis turut merampas wang kertas RM50 sebanyak 195 keping berjumlah RM9,750.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad yang mengesahkan penangkapan itu memberitahu, eksekutif syarikat berkenaan juga dipercayai terlibat dengan kes tersebut.

“Hasil soal siasat lanjut mendapati seorang lagi suspek yang terlibat iaitu pengadu sendiri yang merupakan ‘mastermind’ dalam kes ini,” katanya dalam sistem pesanan ringkas (SMS), semalam.

Bagaimanapun, belum ada tangkapan ketiga dibuat memandangkan pengadu masih berada di luar daerah atas tugasan, katanya dan dijangka akan pulang dalam masa terdekat.

Kedua-dua suspek akan dipohon reman untuk siasatan.

Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam premis dan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika disabit kesalahan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan