Selasa, 16 Oktober 2012

Ular Sawa Baham Ayam Berjaya Ditangkap

Gambar Hiasan

SARATOK: Seekor ular sawa yang kerap menjadikan ayam ternakan seorang petani dekat sini sebagai ‘sarapannya’ berjaya ditangkap.

Terbaharu, sang batik sepanjang lapan kaki itu telah membunuh dan menelan seekor ayam milik petani terbabit pada awal pagi semalam.

Menurut petani tersebut yang hanya dikenali sebagai Agus, sebelum ini sejak Mac lepas, sebanyak enam ekor ayam ternakannya mati angkara ular sawa terbabit.

“Daripada jumlah tersebut, lima ekor hanya dibunuhnya manakala ayam yang keenam telah dibunuh sebelum ditelan.

“Setelah kekenyangan menelan seekor ayam seberat sekitar 1.5 kilogram, ular itu sukar bergerak hingga berjaya ditangkap.

“Saya hanya menyedari kejadian itu jam 6 pagi tadi (semalam) sewaktu mahu memberi ayam ternakan itu makan,” kata Agus ketika menceritakan detik tersebut kepada pemberita, semalam.

Tambahnya, berikutan sukar mengeluarkan ular terbabit dari kandang ayamnya seorang diri, dia telah meminta bantuan dua rakannya untuk menarik ular terbabit keluar dari reban ayamnya.

“Mereka berdua mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk menarik ular terbabit yang melingkar kukuh pada sangkar ayam berkenaan.

“Saya berharap selepas ini tiada lagi ayam saya mati kerana ular yang menyebabkan saya menanggung kerugian puluhan ringgit, telah ditangkap,” jelas Agus.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan