Isnin, 15 Oktober 2012

Rumah Dipecah Masuk

Anggota polis sedang melihat keadaan bilik yang berselerak 

KUCHING: Dua kes pecah rumah membabitkan kehilangan wang tunai dan barang kemas dilaporkan berlaku di Jalan Keranji, Tabuan Jaya pada malam Sabtu lepas.

Salah seorang mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an memberitahu, insiden itu disedari sekitar jam 9 malam setelah dia kembali dari tempat kerja.

Pada mulanya dia tidak mengesyaki apa-apa yang berlaku namun sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah, mangsa terkejut melihat keadaan dalam rumahnya berselerak.

Pencuri dipercayai memasuki rumah melalui pintu belakang. Kesan tayar motosikal turut kelihatan di kawasan belakang rumahnya. Mangsa mengalami kerugian lebih RM700 dalam bentuk tunai dan barang kemas lebih RM7,000.

Tidak jauh dari rumah wanita berkenaan, seorang lelaki dalam lingkungan usia 30-an mengalami kerugian lebih RM5,000 tunai dan beberapa barang kemas.

Kejadian itu turut disedari sekitar jam 9 malam apabila mangsa kembali ke rumah setelah makan malam.

Kedua-dua kes itu dipercayai dilakukan oleh dalang yang sama dengan mengambil kira modus operandi memecah masuk melalui pintu belakang. Kedua-dua kes tersebut dalam siasatan.

Sementara itu, seorang peniaga dari Taman Seng Goon mengalami kerugian lebih RM10,000 dalam kejadian pecah masuk yang disedari awal pagi semalam.

Mangsa menyedari rumahnya dipecah masuk melalui pintu belakang kira-kira jam 12 tengah malam setelah mendapati kunci mangga dan kunci pintu utama dirosakkan. Setelah masuk ke dalam, mangsa mendapati bilik tidur utama dan bilik anak-anaknya berselerak.

Antara barang-barang yang dicuri adalah komputer riba, dua unit kamera, telefon bimbit, koleksi wang tunai asing, peti keselamatan, jam tangan berjenama, barang kemas bernilai lebih RM10,000.

Difahamkan, pencuri turut melarikan kunci rumah dan kunci pagar automatik. Angka kerugian sebenar masih belum dapat dipastikan.

Laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan