Sabtu, 13 Oktober 2012

Empat Pasangan Hampir Batal Pernikahan Kerana ‘Kebakaran’

Gambar Hiasan

KUCHING: Empat pasangan yang menghadiri majlis akad nikah di Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) di Bangunan Mahkamah Syariah semalam hampir membatalkan hasrat mereka akibat bangunan di situ ‘terbakar’.

Kesemua ahli keluarga dan pasangan terbabit cemas lalu bergegas keluar dari bangunan itu tetapi ia sebenarnya hanya gimik latihan kebakaran yang dianjurkan JAIS di sini semalam.

Latihan kebakaran itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang dan Padungan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis dan pihak unit kecemasan dari Hospital Umum Sarawak.

Menurut jurunikah yang enggan namanya disiarkan, keempat-empat pasangan itu dikatakan hadir untuk menjalankan majlis akad nikah pada hari tersebut.

“Saya mulanya agak terkejut apabila diarahkan keluar dan mengosongkan ruangan ini (akad nikah) apabila saya ingat semula barulah saya tahu bahawa notis yang dikeluarkan pada minggu lalu itu mengatakan di sini ada mengadakan sesi latihan kebakaran.

“Saya melihat pasangan-pasangan yang menjalankan sesi akad nikah terpinga-pinga tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku, jadi mereka yang ditemani ahli keluarga mula cemas terus melangkah keluar dari ruangan ini,” kata jurunikah itu ketika ditemui.

Sementara itu, Safri Sulong, 19, dari Kampung Rampangi dekat sini yang merupakan salah seorang pasangan terbabit berkata, pada mulanya dia tidak menyedari ia hanya latihan sahaja.

Namun katanya, setelah keluar dari bangunan itu barulah dia sedar insiden kebakaran itu adalah gimik semata-mata dan hanya satu latihan kebakaran.

“Saya tidaklah cemas…tekaan saya benar ia satu latihan kerana tiada kepulan asap yang keluar dari bangunan ini, sekiranya benar-benar berlaku kebakaran pasti kepulan asap sudah menyelebungi bangunan ini,” jelasnya.

Safri yang mendirikan rumah tangga bersama Siti Khatijah Reduan selepas itu diijab kabul sebagai suami isteri sah selepas sesi latihan itu tamat kira-kita jam 3.40 petang semalam.

Dalam latihan itu, seramai sembilan orang dikatakan ‘cedera’ akibat kebakaran itu, namun kesemua berjaya diselamatkan oleh pasukan Bomba yang bergegas ke tempat kejadian.

Seramai 25 anggota terlibat dalam usaha menyelamat iaitu lapan anggota dari Balai Bomba Padungan, lapan lagi dari Balai Bomba Batu Lintang dan sembilan anggota JPAM di samping melibatkan dua jentera Bomba, tiga RIM (Rapid Intervension Motocycle) dan sebuah ambulans.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan