Guru parah selepas ditetak dengan parang panjang oleh dua lelaki kelmarin
KUALA TERENGGANU – Seorang guru pendidikan khas sebuah sekolah rendah di Besut menjadi mangsa cemburu buta pihak tertentu apabila dia cedera parah selepas ditetak lebih 10 kali dengan parang panjang oleh dua lelaki yang menyangka mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan isteri orang kelmarin.
Difahamkan, kejadian pukul 6.30 petang di depan bangunan Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Sultan Mizan, Kampung Raja, Besut, itu berlaku apabila guru lelaki yang menjalankan perniagaan sampingan menjual barangan kosmetik datang ke situ selepas dihubungi oleh seorang wanita.
Dalam perbualan itu, wanita tersebut berpura-pura menyatakan minat untuk membeli barangan kosmetik yang dijual mangsa dan berjanji untuk berjumpa di depan bangunan tersebut.
Guru berusia 35 tahun dan masih bujang itu kemudian pergi ke tempat yang dimaksudkan dengan menaiki sebuah kereta bersama adik lelakinya berumur 19 tahun.
Sebaik sampai, mangsa telah menunggu wanita tersebut di luar kereta manakala adiknya duduk di dalam kenderaan tersebut.
Tidak lama kemudian, dua buah kereta jenis Proton Iswara dan Perdana bercermin gelap mendekati mangsa sebelum dua lelaki yang menutup muka dengan kain biru keluar sambil masing-masing membawa parang panjang.
Suspek kemudian telah menetak mangsa berkali-kali tanpa belas kasihan sebelum melarikan diri selepas mendapati guru tersebut cedera parah. Adik mangsa bagaimanapun tidak diapa-apakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan