Seorang anggota polis melepaskan tembakan sehingga mencederakan seorang pelayan
KUCHING: Seorang anggota polis yang berlagak samseng dengan melepaskan tiga das tembakan di sebuah pusat hiburan kerana berang permintaannya tidak dipenuhi awal pagi semalam telah ditahan.
Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya amat memandang serius perkara tersebut dan akan mangambil tindakan tegas terhadap anggota terbabit.
“Tindakan undang-undang yang paling tegas akan diambil terhadap anggota berkenaan di mana kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan ugutan jenayah.
“Pihak polis memandang serius perkara ini dan tidak akan bertolak ansur bagi memastikan setiap pegawai dan anggota polis mematuhi undang-undang di negara ini,” tegas Acryl. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden tersebut semalam.
Acryl turut memberitahu anggota polis tersebut yang bertugas di Cawangan Tugas Am Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman dipercayai mabuk semasa insiden tersebut dan diarahkan untuk menjalani ujian urin serta ujian darah.
“Anggota berkenaan yang dipercayai mabuk telah ditangkap serta-merta dan diambil ujian urin dan ujian darah.
“Selain itu, pistol jenis Automatik Walther P9S 9mm yang digunakan oleh anggota terbabit semasa insiden tersebut juga dirampas,” katanya.
Beliau menambah, suspek yang baharu selesai tugas ope-rasi di Serian seharusnya memulangkan pistol tersebut selepas bertugas dan tidak sepatutnya membawanya bersama.
Bercakap mengenai insiden tersebut, Acryl memberitahu anggota polis berkenaan yang berusia 21 tahun pada mulanya telah mengunjungi sebuah kelab malam di kawasan hiburan Travilion, Padungan bersama dua rakannya.
Bagaimanapun, suspek di-katakan tiba-tiba marah selepas seorang daripada pekerja di kelab malam berkenaan tidak dapat memenuhi permintaannya dan telah melepaskan satu das tembakan di hadapan kaunter kelab tersebut sekitar jam 3 pagi.
“Akibat itu, seorang pekerja di kelab malam telah terkena serpihan peluru di lehernya manakala anggota tersebut yang masih tidak berpuas hati kemudian sekali lagi melepas-kan dua das tembakan ke udara semasa berada di luar kelab malam itu,” jelas Acryl.
Sepasukan polis dari IPD Kuching tiba di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan dan telah menemui dua kelongsong peluru di luar kelab malam berkenaan.
Anggota polis tersebut yang berasal dari Semenanjung Malaysia kini ditahan reman selama empat hari sementara siasatan dijalankan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan