Jumaat, 5 Oktober 2012

Pekerja Pasar Raya Cedera Di Bahagian Dada Ditikam Pencuri


KUCHING: Seorang pekerja di sebuah pasar raya di Demak Laut, di sini ditikam di bahagian dada ketika cuba menahan seorang pencuri petang semalam.

Menurut sumber, insiden tersebut berlaku ketika mangsa, 36, melihat suspek memasuki pasar raya tersebut dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 2.15 petang.

Selepas memerhati gerak geri suspek, mangsa melihat suspek menyembunyikan lapan botol syampu di dalam seluarnya menyebabkan dia dan rakan sekerjanya segera mendapatkan suspek ketika dia hendak keluar dari pasar raya tersebut.

Ketika berada di luar pasar raya itu, mangsa bersama rakannya berjaya menahan suspek namun kemudian berjaya melarikan diri.

Dalam pada itu juga, suspek, 40, dan berasal dari Tabuan Jaya sempat menikam bahagian kanan dada mangsa menggunakan pisau lipat sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

Rakan mangsa kemudian segera membantu mangsa dan menghantarnya ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan sebelum menghubungi polis melaporkan mengenai kejadian tersebut.

Anggota polis dari Unit Kereta Peronda Polis tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian dan terus menahan suspek untuk siasatan lanjut.

Mangsa yang mengalami kecederaan serius itu dilaporkan masih menerima rawatan di HUS.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan