Selasa, 9 Oktober 2012

Marin Rampas Barangan Satelit Lebih RM130,000


TAWAU: Polis Marin Tawau berjaya merampas peralatan satelit bernilai lebih RM130,000 dalam satu pemeriksaan di Jalan Persisiran, Batu Batu Sabindo di sini pada Sabtu.

Pemangku Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Tawau, AWSP Krishnan A/L Ramasamy berkata tangkapan jam 10.30 pagi itu dibuat semasa sepasukan polis Marin mengadakan Operasi Landai Payung.

Katanya, pihaknya telah memeriksa sebuah lori dalam keadaan mencurigakan yang sedang parkir di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati lori yang membawa kontena itu telah menemui barang-barang satelit yang disyaki diseludup masuk dari negara jiran,” katanya.

Barangan yang dirampas termasuklah antaranya dua set Digital Satelite Receiver, empat set Java 11 Digital Receiver Satelite, empat set Matrik LNB F Exlc dan dua set Matrik Dual Receiver C Band LNBF 2 Way.

“Seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun dan seorang warga Indonesia berumur 44 tahun yang berada di dalam lori terbabit semasa pemeriksaan telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Hasil pemeriksaan lanjut, tambah Krishnan, mendapati kedua-dua suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen atau surat pelepasan daripada Jabatan Kastam Tawau berhubung peralatan itu.

Kesemua barangan itu bersama suspek akan diserah kepada Jabatan Kastam Tawau untuk tindakan selanjutnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan