Isnin, 22 Oktober 2012

Nenek Dibunuh Dengan Kejam

Sepasukan polis membawa keluar mayat mangsa untuk dibawa ke hospital

MIRI: Seorang wanita warga emas dibunuh kejam dalam satu rompakan bersenjata yang berlaku ketika hujan lebat kelmarin (Sabtu), di Desa Indah 3, Bandar Baru Permyjaya di sini.

Mayat mangsa ditemui oleh anak lelakinya yang juga seorang pegawai polis dan me­nantunya dalam keadaan ter­baring di lantai rumah mereka dan berlumuran darah.

Mangsa yang dikenali se­bagai Undang Dana, 84, beras­al dari Namam, Durin ditemui dengan kesan hentakan (atau mungkin ditumbuk) kuat pada wajahnya hingga retak pada tulang hidung, selain kesan tetakan pada lengan dan terdapat kesan tusukan benda tajam pada sebelah kiri perutnya.

Turut ditemui hilang ialah barang kemas pada badan mangsa yang menurut anakn­ya, mangsa memang memakai barang kemas peribadinya seperti rantai, gelang tangan dan cincin, selain satu set tel­efon bimbit, turut dilarikan.

Mangsa telah lama menetap bersama anak sulungnya itu di sini dan ketika kejadian dia tinggal bersendirian di rumah.

Menurut anak mangsa, dia dan isterinya adalah orang yang pertama tiba di rumah mereka sekitar jam 7.30 malam kelmarin manakala tiga lagi anak mereka belum pulang.

“Isteri saya yang pertama masuk ke rumah apabila dia mendapati pintu kami tidak berkunci dan terbuka sedikit,” katanya dan memberitahu alangkah terkejut kedua-dua mereka apabila mendapati mangsa terbaring dan sudah tidak bernyawa lagi.

Anaknya percaya, kejadian mungkin berlaku beberapa jam sebelum dia dan isterinya tiba di rumah berdasarkan keadaan darah yang sudah kering.

Dalam pada itu katanya, kedua-dua jiran yang tinggal sebelah-menyebelah rumah juga tiada di rumah masing-masing, ditambah dengan hujan lebat di Miri sejak awal hingga lewat petang se­malam, menyebabkan ramai yang tidak sedar berlakunya rompakan di rumah mangsa.

Sementara itu siasatan awal polis mengesyaki perompak yang menyerang mangsa mungkin lebih daripada se­orang serta bersenjata, ber­dasarkan kesan luka dan kecederaan pada mangsa.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat sekitar jam 1 pagi semalam oleh pasukan polis yang menjalankan siasatan dan dijangka dituntut oleh ahli keluarganya hari ini.


2 ulasan:

  1. Balasan
    1. yalah...ksian nenek tu kan? kalau nak rompak, rompak sjalah...janganlah sampai membunuh. bukan juga nenek tu mampu melawan...

      Padam