Isnin, 22 Oktober 2012

Rumah Didiami Tiga Keluarga Musnah Dijilat Api

Gambar Hiasan

MIRI: Sebuah rumah yang didiami oleh tiga keluarga musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Pasir Lutong, di sini berlaku pada awal pagi kelmarin.

Salah seorang mangsa, Chris Sulton Umpi memberitahu beliau terjaga dari tidur apabila menyedari api sedang marak di salah satu bahagian rumah terbabit dan bergegas memberitahu ahli keluarga yang lain.

“Saya menyedari kebakaran tersebut sekitar jam 3 pagi dan segera memberitahu ahli-ahli keluarga yang lain dan kami hanya sempat menyelamatkan diri kerana api merebak terlalu cepat,” katanya.

Kesemua 12 orang penghuni yang tinggal di dalam rumah terbabit tinggal sehelai sepinggan dalam kejadian kebakaran itu.

Pihak bomba yang tiba beberapa minit selepas kejadian berjaya memadamkan api, tetapi kesemua barang dalam rumah habis terbakar termasuk sijil beranak, MyKad, barang kemas, peralatan sekolah dan lain-lain.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Sebastian Ting yang mengetahui kejadian itu datang untuk melawat keadaan mangsa sekeluarga yang terbabit.

Beliau yang prihatin dengan kesusahan mangsa kebakaran turut menyampaikan bantuan wang tunai RM500 bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan bantuan berupa makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri.

Menurut Penolong Pengarah JKM Miri, Joseph Lau pihaknya akan menghulurkan bantuan kepada mangsa sekeluarga pada hari ini (22 Oktober).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan