Rabu, 17 Oktober 2012

Penduduk Moro Gembira

Leonen (kanan) dan Mohagher (kiri) menandatangani perjanjian rangka kerja untuk keamanan

MANILA - Ratusan penduduk bersorak gembira apabila pemerintah Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menandatangani perjanjian rangka kerja untuk keamanan yang berharap akan menamatkan konflik selama 40 tahun di wilayah selatan negara itu.

Penduduk itu bersorak di luar Istana Malacanang semasa perjanjian tersebut ditandatangani.

Ribuan anggota MILF mengangkat senjata api di sebuah kem di wilayah Maguindanao 960 kilometer dari sini sebagai tanda menghormati majlis menandatangani perjanjian tersebut.

Beberapa wanita yang memakai tudung berwarna-warni menangis apabila Pengerusi MILF, Murad Ibrahim menggambarkan perjuangan selama 40 tahun itu sebagai penghargaan terhadap para pejuang yang terbunuh.

"Kami mengabdikan rangka perjanjian ini sebagai penghargaan kepada para pemimpin kami yang terbunuh. Mereka mengorbankan nyawa untuk Allah dan Bangsamoro," kata Murad.

Perjanjian itu ditandatangani antara perunding damai pemerintah, Marvic Leonen dan Ketua Perunding MILF, Mohagher Iqbal.

Sementara itu, seorang pensyarah kajian Islam, Profesor Julkipli Wadi dari Universiti Filipina berkata, penduduk Moro gembira dengan perjanjian itu.

"Namun, kami perlu peka dengan cabaran pada masa depan," tambahnya.

Upacara menandatangani perjanjian itu turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden, Benigno Aquino III.

Perang di selatan Filipina meragut lebih 150,000 nyawa sejak awal 1970-an dan pelbagai perjanjian damai yang dicapai sebelum ini, sama ada tidak membuahkan hasil atau tidak dapat dilaksanakan.

Perjanjian berkenaan dianggap sebagai 'perjanjian induk' yang menggariskan rangka tindakan ke arah pembentukan entiti baharu bagi Bangsamoro untuk menggantikan Wilayah Autonomi yang sedia ada di wilayah Islam Mindanao.

Perjanjian itu juga akan membuka jalan kepada usaha membangunkan semula Mindanao, yang sejak empat dekad lepas, mengalami pelbagai kerugian termasuk daripada segi prasarana, pelaburan dan masa depan.

Menurut laporan Bernama, perjanjian itu dilihat mampu mengurangkan dengan ketara kegiatan keganasan yang mencemari selatan Filipina sejak beberapa dekad lepas sekali gus mewujudkan suasana lebih kondusif bagi pelaburan dan pembangunan, di samping menyumbang kepada keselamatan menyeluruh di Filipina, termasuk di wilayah berkenaan.

Perjanjian itu antara lain, menyebut bahawa Bangsamoro akan diwujudkan untuk menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao.

Ia menyatakan bahawa Bangsamoro akan mendapat bahagian yang adil dan saksama daripada hasil yang dijana melalui kerja cari gali, pembangunan atau penggunaan sumber asli yang diperoleh dari semua kawasan / wilayah, tanah atau air yang diliputi dan terletak di bawah bidang kuasa Bangsamoro, sejajar dengan formula yang dipersetujui kedua-dua pihak. - Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan