Jumaat, 19 Oktober 2012

Pengawal Cedera Ditikam Penyamun


SIBU: Seorang lelaki warga Indonesia terbayang maut apabila lehernya ditikam dengan pisau selepas kedai perabot tempat dia bekerja dicerobohi dua penyamun di Jalan Pedada di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa berusia 23 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di situ sedang melayari laman sosial menerusi telefon bimbitnya apabila dia diserang dari belakang oleh dua lelaki berkenaan.

Mangsa sebelum itu sedang duduk di luar kedai perabot berseorangan sambil asyik bermain Facebook apabila salah seorang daripada penyamun mengeluarkan pisau dan cuba menikamnya dari belakang.

Nasib baik mangsa yang memakai jaket berhud menyelamatkan nyawanya kerana sasaran tikaman penyerang tersebut tidak menebusi lehernya.

Bagaimanapun, mangsa yang berasal dari Jawa, Indonesia hanya mengalami luka di bahagian belakang lehernya dan tapak tangan kanannya juga luka sedikit semasa cuba mengelakkan dirinya daripada senjata tajam itu.

Mangsa yang berada dalam ketakutan bertindak cepat untuk menyelamatkan dirinya dengan melarikan diri ke sebuah pusat beli-belah berdekatan.

Mangsa terus mendapatkan bantuan daripada dua orang kenalannya yang sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan di premis belibelah di situ.

Seorang kenalan mangsa yang hanya dikenali sebagai Robinson, 25, berkata dia hairan melihat mangsa berlari cemas menujunya dengan tangannya yang memegang lehernya yang berdarah.

“Saya memang mengesyaki ada sesuatu yang buruk berlaku padanya (mangsa) apabila dia kelihatan cemas sambil meminta pertolongan daripada kami untuk menghubungi ambulans sebelum dia rebah di hadapan kami,” ujar Robinson ketika ditemui di Balai Polis Sentral semasa mengiringi mangsa membuat laporan.

Robinson terus menghubungi polis dan ambulans tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

“Saya memang sudah mengenali mangsa sejak dia bekerja di situ dan selalu berpesan agar mencari kami jika dia mengalami sebarang masalah dan memerlukan apa-apa bantuan daripada kami,” katanya.

Mangsa yang ditemui selepas membuat laporan polis memberitahu bahawa dia mampu mengecam dua lelaki yang menyerangnya itu melalui motosikal Modenas yang ditunggang mereka.

Mangsa memberitahu bahawa dua penyamun mungkin mahu merampas telefon pintarnya yang berjenama Samsung tetapi cubaan mereka gagal.

Akibat tikaman pisau penyerang tersebut mangsa menerima enam jahitan selepas mendapat rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma di hospital pada jam 7.00 pagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan