Rabu, 17 Oktober 2012

Peniaga Cedera Parah Ditembak Di Stesen Minyak


KOTA BHARU - Seorang peniaga cedera parah ditembak seorang lelaki yang tidak dikenali ketika mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Jalan Kebun Sultan, di sini semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, mangsa yang dikenali sebagai Samnuan, 21, keturunan Siam berasal dari Pasir Pekan, Wakaf Baharu, Tumpat cedera di bahagian kepala dan lengan kanan, kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Pada masa kejadian kira-kira 7.35 malam, peniaga terbabit sedang mengisi minyak di stesen minyak itu, bersama seorang wanita dikenali sebagai Lee Win Dee, 20, berasal dari Bachok, katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.

Beliau berkata, tiba-tiba seorang lelaki memasuki kereta peniaga itu dan menyebabkan wanita yang berada di dalam kereta itu keluar melarikan diri.

Jalaluddin berkata, melihat keadaan itu, peniaga itu cuba membantu dan suspek menembaknya dengan tiga das mengenai kepala dan lengan kanannya sebelum dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan. -  BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan