Khamis, 18 Oktober 2012

Perompak Bersiri Dihukum Penjara 88 Tahun, 40 Sebat


MIRI: Seorang perompak bersiri dijatuhi hukuman penjara 88 tahun dan 40 sebatan oleh Mahkamah Sesyen petang semalam setelah mengaku bersalah atas sembilan tuduhan merompak bersenjata dan satu tuduhan cubaan merompak.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud setelah menimbangkan beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Ketika membacakan keputusannya, beliau berkata, tertuduh yang juga seorang kaki judi telah melakukan jenayah yang amat serius serta merupakan seorang individu yang amat berbahaya kepada masyarakat berdasarkan tindakannya yang sering bersenjatakan pisau ketika melakukan rompakan.

Malah, kesemua sembilan kesalahan merompak dan satu tuduhan cubaan merompak yang dilakukan tertuduh dilakukan di sepuluh lokasi dan membabitkan sepuluh mangsa yang berbeza dengan menjadikan juruwang wanita dan kedai tiada pelanggan sebagai sasaran.

“Alasan tertuduh melakukan rompakan kerana kesulitan dan kesusahan hidup hanya dusta semata-mata. Sedangkan dalam pengakuannya kepada polis, dia merompak untuk mendapatkan wang bagi memenuhi nafsu judinya,” tegas beliau.

Justeru, Kerisnada menegaskan tiada alasan untuk mahkamah meringankan hukuman ke atas tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukannya amat serius dan senjata yang digunakan tertuduh bukan hanya boleh menyebabkan mangsa ketakutan dan trauma, malah boleh mencederakan dan membunuh.

“Setelah menimbangkan kesemua faktor, mahkamah berpendapat hukuman penjara secara berasingan (berurutan) harus dikenakan ke atas tertuduh sebagai pengajaran kepadanya serta masyarakat agar tidak melakukan kesalahan serupa,” katanya.

Ting Kuong Hieng, 48, dari No.7561-2-5 Quadruplex Bandar Baru Permyjaya di sini telah didakwa atas sembilan tuduhan merompak mengikut Seksyen 392 dan dihukum di bawah Seksyen 397 kanun yang sama serta satu tuduhan cubaan merompak mengikut Seksyen 393 dan dihukum di bawah Seksyen 397 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan yang dihadapi.

Berdasarkan 10 pertuduhan itu, tertuduh telah melakukan rompakan bersenjata terhadap Laila Namila Aik di kedai kek Wilton; Ling Pau Li di kedai Anakku; Nooraslin Kadri di kedai kek Habibi; Rosalind Lee Poh Kim di CJ Klinik; Stesen Minyak Shell Chop Kit Siang; Derlia Douglas di Guardian Pharmacy Health & Beauty Shop; Lin Vui Hsiung di Watson Personal Care & Health Store; Lee Siaw Tin dan Siti Sarah di kedai Ma Baker; Nisrin Mohd Alias di kedai Petronas Sinaran Suria serta Dr Cheah Children Specialist Clinic.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh antara 31 Ogos tahun ini dan 1 Oktober lalu. Ketika rayuan, tertuduh memohon hukuman yang ringan ke atasnya memandangkan dia telah berkahwin dan mempunyai seorang anak serta tiga orang cucu.

Sementara itu di hadapan mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Syakil Zulkifli memohon agar hukuman yang lebih berat dikenakan ke atas tertuduh sebagai pengajaran kepadanya serta masyarakat umum agar tidak melakukan kesalahan serupa.

Hadir sama membantu TPR ialah ketiga-tiga pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Julius Panai, Inspektor Mansur Rahman dan Inspektor Asyraq Raime, manakala tertuduh tidak diwakili.

Bagi sembilan tuduhan merompak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan empat sebatan bagi setiap tuduhan dan tujuh tahun serta empat sebatan bagi cubaan merompak.

Semua hukuman ke atas tertuduh diperintahkan supaya berjalan secara berasingan (berurutan).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan