Selasa, 16 Oktober 2012

Remaja Bunuh Empat Sekeluarga Dibicara

Tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa keluar dari kamar mahkamah

SIBU: Mahkamah Tinggi di sini semalam, menetapkan 7 hingga 10 Januari 2013 bagi tarikh perbicaraan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun atas empat pertuduhan bunuh dan satu cubaan membunuh. Hakim Supang Lian, turut menetapkan 3 Disember akan datang sebagai tarikh sebutan semula kes.

Remaja berkenaan meng­hadapi empat pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori dan satu dakwaan cuba membunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mem­bunuh, Leong Nyuk Lan, 76, menggunakan tukul di antara jam 6 hingga 7.30 pagi pada 3 Januari lalu di sebuah rumah Jalan RTM, di sini.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa membunuh seorang ahli perniagaan Ling Tong Hock, 36, yang juga anak kepada Leong di tempat dan waktu yang sama dengan menggunakan senjata sama.

Tertuduh juga menghadapi dua pertuduhan membunuh dua anak Ling iaitu David Ling Chei Qi, 10, dan Amy Ling Zi Jiun, 7, di tempat dan waktu sama menggunakan senjata yang sama.

Tuduhan kelima, dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh seorang lagi anak lelaki Ling, Kevin Ling Chei You, 8, yang cedera parah dalam serangan itu.

Selepas kelima-lima pertuduhan dibaca oleh jurubahasa mahkamah, tertuduh yang berdiri tenang di dalam kandang tertuduh mengangguk tanda faham pertuduhan yang dibaca terhadapnya.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan.

Tertuduh diwakili peguam Darren Ling manakala Timbalan Pendakwa Raya ialah Azrul Faidz Abdul Razak.

Isteri kedua Ling, Li Xiao Lan, 28, yang juga warganegara China yang sempat melarikan diri menerusi tingkap bilik tidur di tingkat atas rumahnya ketika kejadian turut hadir, semalam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan