Isnin, 15 Oktober 2012

Rumah Panjang Terbakar Di Marudi

Gambar Hiasan

MARUDI: Sebuah rumah panjang 24 pintu milik kaum Iban di Ulu Teru, Kampung Mission, Ulu Teru dalam kawasan Tinjar, di sini, musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi semalam, menyebabkan lebih 300 penduduknya tinggal sehelai sepinggang.

Tuai Rumah Henry Chaling Gomes yang menghubungi Utusan Borneo di sini pada jam 6 pagi semalam memberitahu, kejadian berlaku pada jam 2 pagi semalam dan dalam keadaan yang gelap dan terkejut dengan kejadian itu, katanya penduduk sukar untuk mengawal api yang marak.

“Semua harta benda musnah dan gagal diselamatkan termasuk dokumen-dokumen penting namun kami bersyukur kerana semua penghuni rumah panjang terselamat,” katanya.

Menurut Chaling, api dipercayai bermula dari dapur kayu daripada salah sebuah bilik di rumah panjang tersebut dan keadaan tersebut tidak disedari penghuninya sehinggalah api marak dengan pantas hingga meranapkan rumah kayu tersebut.

“Rumah yang terbakar ini salah satu daripada blok 56 pintu rumah panjang yang berada di bawah jagaan saya,” tambahnya.

Lebih menyedihkan katanya, harta benda yang terbakar bukan sahaja perabot malah beberapa harta pusaka seperti peralatan muzik tradisional terutama gong dan senapang patah.

Chaling mengesahkan beliau dan beberapa ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah turun ke Marudi untuk membuat laporan polis dan memaklumkannya kepada Pejabat Daerah serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Marudi untuk tindakan lanjut.

Ketika ini katanya, anggaran kerugian masih belum dapat dipastikan dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat masih lagi menyiasat punca dan jumlah kerugian yang dialami.

Ketika ini semua mangsa kebakaran ditempatkan sementara di bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Pengarah Entri, Ulu Teru namun ada juga yang menumpang di rumah saudara-mara.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan